Lebih 1,500 orang warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, membabitkan guru, murid, ibu bapa serta komuniti setempat berganding bahu menjayakan Program Gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Madani peringkat Negeri Kelantan, baru-baru ini.
Program yang bermula pada pukul 7.45 pagi itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad. Menurut penganjur, program berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif berteraskan konsep 3K iaitu kebersihan, keceriaan dan keselamatan di samping memupuk semangat perpaduan serta kerjasama antara warga sekolah, PIBG, komuniti, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan
Kementerian Pendidikan. Guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 1, Mohd Zuki Awang Seman berkata, penganjuran gotong royong tersebut memberi impak positif dalam meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan sekolah serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
“Melalui penglibatan pelbagai agensi awam, swasta dan pertubughan bukan kerajaan (NGO), kita dapat membudayakan amalan gotong-royong di samping membina nilai murni seperti
kerjasama, tanggungjawab, toleransi dan rajin dalam kalangan murid,” katanya. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Selamat Sultan, bacaan Ikrar Rukun Negara dan doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PIBG, Datuk Ahmad Rosdi Mahmad.
Timbalan Pengarah Pendidikan JPN Kelantan, Mat Lazim Mohammad turut menyampaikan ucapan sebelum Dr. Mohd Azam memberikan amanat kepada para guru dan tetamu yang hadir. Selepas sesi bergambar, taklimat ringkas gotong-royong disampaikan oleh guru besar sebelum aktiviti pembersihan dan pengindahan kawasan sekolah dijalankan selama dua jam.
Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Klinik Kesihatan Daerah Pasir Mas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yakult Malaysia Sdn. Bh, Milo Malaysia dan Farm Fresh.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan moral, sumbangan tenaga dan kerjasama padu sehingga menjadikan program itu berjaya mencapai matlamat. – UTUSAN