Visa ‘graduate plus’ kepada pelajar Bangladesh jejas peluang graduan tempatan

Visa ‘graduate plus’ kepada pelajar Bangladesh jejas peluang graduan tempatan

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cadangan mahu membenarkan kira-kira 10,000 graduan Bangladesh yang belajar di negara ini untuk mengakses peluang pekerjaan berkemahiran tinggi melalui pengenalan visa ‘graduate plus’ menimbulkan kebimbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu akan menjejaskan peluang graduan tempatan untuk memasuki pasaran kerja dalam bidang berkaitan.

Katanya, permohonan yang dibuat sewaktu lawatan rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus itu baru-baru ini didakwa akan meningkatkan bilangan graduan tempatan yang menganggur atau mereka yang bekerja tidak setimpal dengan kelayakan.

“Berita ini tidak dilaporkan media tempatan tetapi saya ikuti laporan Dhaka Tribune yang mana Malaysia dikatakan sedang mempertimbangkan permohonan itu dan berkemungkinan akan membenarkan.

“Tetapi kita ada seramai 1.9 juta graduan kita yang ‘under employment’ dan ratusan ribu lagi tidak ada kerja. Sepatutnya mereka habis belajar balik atau pun kalau mereka betul-betul kompeten dan tiada rakyat Malaysia yang mahir bidang itu baru lah bagi kepada mereka.

“Namun tak kan lah tiada orang Jitra boleh jadi jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di sini, hari ini.

Dhaka Tribune melaporkan, Malaysia dijangka memperkenalkan visa ‘graduate plus’ kepada pelajar Bangladesh yang menuntut di negara ini, sekali gus membolehkan ribuan daripada mereka mengakses pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi negara yang sedang berkembang.

Penasihat Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Dr. Asif Nazrul berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan produktif dengan Malaysia dan secara prinsipnya telah bersetuju untuk mengeluarkan visa itu, namun kedua-dua pihak perlu melengkapkan beberapa formaliti tertentu sebelum dasar itu dapat dikuatkuasakan.

Sementara itu, Haim Hilman yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, beliau tidak menyalahkan Bangladesh dalam perkara itu kerana membuat permohonan sedemikian.

“Kita terlalu baik dan lunak, kalau ini berlaku tiada masalah dengan mereka yang hanya minta tapi kitalah bagaimana hendak memposisikan diri. 10,000 itu pekerja berkolar putih jadi dengan kata lain ini adalah suatu perkara dalam konteks kelangsungan pembekalan tenaga kerja yang mahir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tentang kemasukan pelajar asing ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa mencecah 27 peratus berbanding 10 peratus dinyatakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Saya ambil contoh lima IPTA utama sahaja iaitu UM; UKM; UPM; USM dan UTM yang merupakan ‘powerhouse’ kepada penghasilan bakat terbaik negara. Daripada 180,000 pelajar, 38,000 mereka adalah adalah rakyat negara asing dalam program kritikal.

“Sehingga 27 peratus tempat yang sepatutnya diisi lebih banyak oleh rakyat Malaysia diberikan kepada rakyat negara asing, ini suatu perkara yang sangat mendukacitakan pendidikan tinggi negara,” ujarnya.

Haim Hilman berkata, pandangannya bukan kerana mahu menentang KPT yang mana beliau pernah menjadi sebahagian warga kementerian itu tetapi hanya menyuarakan kerisauan hasil pengetahuannya berada dalam sistem itu, sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN