BUDAPEST: Max Verstappen membuat ramalan mengejutkan bahawa Red Bull tidak akan memenangi sebarang perlumbaan lagi bagi baki musim Formula Satu (F1) 2025.
Juara dunia empat kali itu berkata demikian selepas menamatkan Grand Prix Hungary di tempat kesembilan, keputusan terburuknya musim ini selepas bermula dari petak kelapan.
Verstappen turut ketinggalan di belakang bekas rakan sepasukan, Liam Lawson dari Racing Bulls dan hampir dipintas satu pusingan oleh pemenang perlumbaan, Lando Norris dari McLaren.
“Tidak, bukan dengan keadaan seperti yang sedang berlaku sekarang. Itulah hakikatnya dan ia jelas.
“Tiada apa yang saya boleh lakukan. Saya boleh marah, tetapi itu tidak akan membuatkan kereta ini menjadi lebih laju,” kata Verstappen.
Menurutnya, pelbagai perubahan telah dicuba namun gagal memberikan hasil dan kini mereka hanya boleh menunggu serta menganalisis selepas hujung minggu perlumbaan.
Bagaimanapun, bos Red Bull, Laurent Mekies menegaskan prestasi hambar di Hungary bukan gambaran sebenar kemampuan jentera RB21.
“Kami akui kami tidak begitu kuat di litar seperti ini, tetapi saya yakin keputusan ini hanya sekali sahaja berlaku.
“Ujian yang kami jalankan di Budapest, termasuk ketika perlumbaan, membuatkan saya percaya kami akan bangkit,” katanya. – AGENSI