UTeM Luaskan Kerjasama Global , IPT Industri New Zealand

UTeM Luaskan Kerjasama Strategik Berangkai Global Bersama IPT dan Industri New Zealand

MASSILA Kamalrudin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Toi Ohomai Institue of Technology, Kieran Hewitson sewaktu menandatangani Surat Niat bertempat di IPT berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meluaskan kerjasama strategik berangkai peringkat global bersama dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) dan industri ternama di negara New Zealand.

Agenda ini dizahirkan menerusi jalinan kerjasama berimpak tinggi bersama dengan University of Auckland, Toi Ohomai Institue of Technology dan pihak industri EV Maritime sewaktu lawatan kerja ke sana, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah merangka kerjasama strategik bersama dengan University of Auckland yang tertumpu kepada agenda   ⁠penghantaran staf UTeM menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang teknikal dan kejuruteraan di sini.

“Seterusnya UTeM dan universiti yang berada pada kedudukan ke-65 dalam QS World Ranking ini turut merancang pelaksanaan geran bersama dalam bidang tenaga.dan persetujuan untuk melaksanakan program pertukaran pelajar mobiliti.

“Kerjasama ini bukan hanya memberi kesan ketara dalam aspek pembangunan akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa UTeM malahan ia turut merancakkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin antara Malaysia dan New Zealand,” ujarnya.

Sementara itu, UTeM telah menandatangani Surat Niat (LoI) bersama dengan Toi Ohomai Institue of Technology bagi menjayakan beberapa agenda yang telah disepakati bersama.

Jelasnya, antaranya adalah berhubung pembukaan Pusat Pembelajaran UTeM di Toi Ohomai yang merangkumi kawasan Oceania di samping penghantaran staf Toi Ohomai untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UTeM. 

“Pada masa yang sama merangka pelaksanaan program ijazah berkembar dan program ijazah sarjana bersama serta pelarasan program diploma UTeM dengan program diploma Toi Ohomai.

“Di samping itu, kerjsama ini turut membuka peluang untuk pertukaran akademik, pembangunan tenaga pakar, serta penawaran program pengajian yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Majlis menandatangani LoI itu disempurnakan di Toi Ohomai yang mana UTeM diwakili oleh Massila manakala pihak Toi Ohomai diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kieran Hewitson.

Mengulas tentang hubungan UTeM dan industri di New Zealand pula, Massila menyatakan syarikat ternama di Auckland, EV Maritime yang berfokus kepada pembangunan kenderaan elektrik (EV) dalam sektor maritim komited dan bersedia menjalin kerjasama strategik bersama dengan UTeM.

Katanya, antara rangka kerjasama adalah berkisar kepada persetujuan untuk melaksanakan geran bersama dalam bidang bateri dan tenaga bagi teknologi kenderaan elektrik.

“Pada masa yang sama UTeM dan EV Maritime turut bersetuju untuk mewujudkan Program Pertukaran Staf bertujuan untuk peningkatan kemahiran serta kepakaran dalam bidang ini.

“Dengan kerjasama strategik ini, secara tidak langsung akan melonjakkan nama UTeM sevagai universiti pertama di Malaysia yang mempelopori teknologi EV dalam sektor maritim.

Turut bersama sepanjang lawatan kerja UTeM bagi menjayakan kerjasama strategik berangkai bersama IPT dan industri di New Zealand ini adalah Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global), Profesor Madya Mohd. Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE) Hazman Hasib. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN