PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan tiga pusat penting yang menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi bagi mengukuhkan reputasi sebagai peneraju pendidikan teknikal dan inovasi digital.
Tiga pusat berkenaan ialah Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Mikrokelayakan (FLEXMC) dan Pusat Penilaian Pengiktirafan Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL) yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di Pantai Timur.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, pelancaran tiga pusat itu merupakan inisiatif UMPSA sebagai penanda aras baharu kearah pendidikan fleksibel dan digital.
“Pelancaran pusat ini mengukuhkan lagi persediaan UMPSA sebagai Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ASEAN serta menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi menerusi usaha mendigitalisasikan pendidikan menerusi pembelajaran sepanjang hayat dan fleksibel,” katanya
Tambahnya, pelancaran tersebut turut memberi peluang UMPSA untuk bekerjasama mengembangkan jaringan luar dengan pihak industri.
“Inisiatif ini membuktikan kesediaan UMPSA dalam meningkatkan kesedaran warganya khususnya tenaga pengajar untuk menyumbang idea dan tenaga dalam pembangunan modul latihan industri,” katanya.
Menurut Anesee Ibrahim, usaha ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan malah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
“UMPSA bukan sahaja membangunkan modul bersama industri seperti AirAsia Drone, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Aerodyne Flight Institute dan 3D Gens malah menarik penyertaan antarabangsa melalui kerjasama Binus Universiti serta komuniti setempat iaitu Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara,” katanya
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias berkata, pihaknya menghargai kepercayaan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melantik UMPSA sebagai salah satu daripada empat universiti perintis QVC di Malaysia.
“Pelancaran QVC ini membolehkan UMPSA memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti kursus mikrokelayakan di Malaysia setanding dengan peringkat global,” katanya. – UTUSAN