SEREMBAN: Hanya berumpankan cacing, Norizam Md Sidek, 26, seorang juru ukur dari Seremban mencuri tumpuan apabila muncul juara Cabaran Ngail Nismilan 2025 selepas menaikkan ikan keli seberat 1.580 kilogram pada jam 11.54 pagi dalam pertandingan yang berlangsung meriah di Tasik Seremban, semalam.
Lebih manis, Norizam yang masih bujang turut merangkul tempat ketiga dengan tangkapan seekor ikan haruan seberat 1.355 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan RM4,500. “Saya tak sangka akan menang. Ikan itu pun saya rasa tak sampai tiga kilogram. Saya hanya nak belajar dengan kawan-kawan dan berseronok,” katanya selepas menerima hadiah.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Rosly Mohamad Rasid, juga dari Seremban, dengan tangkapan ikan keli seberat 1.420 kilogram, membawa pulang wang tunai RM1,000.
Acara ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events serta mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia, bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Program ini bertujuan merancakkan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dan rekreasi luar bandar di Negeri Sembilan.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, berkata sambutan luar jangkaan membuktikan potensi besar pertandingan seperti ini sebagai produk pelancongan yang berimpak tinggi.
“Kami pada awalnya menyasarkan sekitar 700 penyertaan, tetapi kehadiran melebihi 1,000 peserta membuktikan minat mendalam rakyat terhadap aktiviti santai seperti memancing, lebih-lebih lagi di lokasi cantik dan mudah diakses seperti Tasik Seremban,” katanya.
Melihat sambutan yang amat menggalakkan, MBS merancang memperluaskan konsep ini melalui penganjuran siri pertandingan ‘GP Joran Nismilan’ di tasik-tasik rekreasi lain di seluruh Negeri Sembilan.
Siri ini akan menjadi antara program utama pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, dan berperanan memperkenalkan memancing sebagai tarikan baharu pelancongan negeri.
Sorakan dan keterujaan bergema di lokasi acara apabila seekor ikan spesies Mekong dianggarkan seberat lebih 40 kilogram berjaya dinaikkan oleh salah seorang peserta, namun tangkapan tersebut dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat teknikal pertandingan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. – UTUSAN