UiTM Kelantan jadi titik temu ulama dan profesional

UiTM Kelantan jadi titik temu ulama dan profesional

ANWAR Ibrahim bersama ulama dan guru pondok pada IJTIMA’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Cawangan Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan membuktikan peranannya sebagai peneraju pendidikan Islam kontemporari apabila menjadi tuan rumah kepada IJTIMA’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim.

Program anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan UiTM ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada ulama, guru pondok, pelajar, dan masyarakat setempat bagi membincangkan peranan institusi pondok dan pendidikan agama dalam membina masyarakat berilmu, berakhlak, dan bersatu padu.

Antara peranan utama UiTM Cawangan Kelantan dalam penganjuran ini adalah menjadi platform penyatuan adabul ikhtilaf atau tatacara berbeza pandangan, khususnya antara golongan agamawan dan profesional. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, toleransi, dan penghormatan terhadap kepelbagaian pandangan.

UiTM turut menyerlahkan kekuatan Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, yang menawarkan program Muamalat dan Kewangan Islam serta Industri Halal. Bidang-bidang ini menggabungkan tradisi ilmu agama dengan pendekatan moden bagi melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat tempatan dan global.

Sehari sebelumnya, acara Kenduri Rakyat (Bekwoh) dan Majlis Kelantan Berselawat berjaya menarik sekitar 5,000 hadirin dari seluruh Kelantan dan pelbagai negeri di Malaysia. Program Bekwoh Rakyat turut dijayakan oleh Yayasan Budi Ehsan yang menyumbang 1,000 kilogram daging, sebahagiannya digunakan untuk jamuan program.

Seramai 50 mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan turut menjadi sukarelawan bagi memastikan kelancaran majlis, termasuk mengurus pendaftaran peserta, protokol, dan logistik. Penglibatan ini mencerminkan semangat kesukarelawanan dan komitmen mahasiswa terhadap pembangunan komuniti.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Perdana Menteri, kerana memberikan sokongan padu terhadap pembangunan modal insan melalui gabungan kekuatan ilmu tradisional dan kontemporari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN