PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digesa segera melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti sama ada insiden tersebut berpunca daripada masalah teknikal pesawat atau kesilapan manusia supaya tindakan susulan dapat diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) TUDM.
“Saya yakin dengan tindakan susulan oleh pihak TUDM untuk melaksanakan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan dan sekiranya ia berpunca daripada masalah teknikal pesawat atau kesilapan manusia, maka tindakan tertentu perlu diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, beliau menzahirkan rasa dukacita dengan tragedi yang merupakan kemalangan kedua melibatkan pesawat TUDM dalam tempoh seminggu.
Pada 19 Ogos lalu, sebuah pesawat latihan jenis Pilatus PC-7 Mk II dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar, Kedah.
“Saya yakin pihak TUDM tidak akan menyembunyikan punca kedua-dua kemalangan berkenaan. Namun yang lebih penting, saya berharap semua juruterbang yang terlibat berada dalam keadaan sihat dan selamat serta boleh kembali bertugas dalam masa terdekat,” katanya.
Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, pesawat F/A-18D Hornet yang digunakan sejak sekian lama adalah pesawat tempur berprestasi tinggi dan mempunyai rekod cemerlang.
“Namun, kemalangan udara melibatkan pesawat berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan tahap kesiagaan udara TUDM khususnya melibatkan pesawat tempur pelbagai guna (multi-role combat aircraft) yang sangat diperlukan untuk mengawal ruang udara Malaysia selain menghalau pencerobohan pesawat asing di Laut China Selatan,” katanya.
Terdahulu, TUDM sudah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kemalangan melibatkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM.
“Pihak TUDM akan terus memastikan setiap aspek keselamatan penerbangan diberi keutamaan. dan mengambil langkah sewajarnya agar insiden seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Udara Kuantan hari ini. – UTUSAN










