KUALA LUMPUR: Cabaran sukar menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila diundi menentang beberapa kelab ternama Asia dalam saingan Peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) 2025-26.
Berdasarkan undian yang diumumkan hari ini, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu akan berdepan lawan-lawan berprofil tinggi dari China, Jepun, Thailand dan Australia, menjadikan laluan ke pusingan seterusnya penuh ranjau.
Di laman sendiri, skuad Harimau Selatan bakal menyambut kunjungan dua kelab gergasi China, Shanghai Port dan Shanghai Shenhua, selain kelab Liga J1 Jepun, Vissel Kobe, serta pendatang baharu yang semakin mencuri perhatian, Machida Zelvia.
Sementara itu, perlawanan di tempat lawan tidak kurang mencabar apabila JDT dijadual bertandang ke kubu Sanfrecce Hiroshima di Jepun, menentang Chengdu Rongcheng di China, berdepan Buriram United di Thailand, dan menguji kekuatan Melbourne City di Australia.
Pertemuan dengan Shanghai Port bakal menjadi tumpuan awal kerana kelab itu dibarisi pemain bintang antarabangsa dan terkenal dengan corak permainan pantas, manakala Vissel Kobe, bekas kelab Andres Iniesta, pasti mahu mempertahankan reputasi mereka sebagai kuasa besar Jepun.
Aksi menentang Buriram United pula dijangka menjadi ‘derby serantau’ yang penuh emosi, dengan kedua-dua pasukan sering bertemu dalam kejohanan kelab Asia dan memiliki rekod pertemuan yang sengit.
Jurulatih JDT, Xisco Munoz dijangka melakukan persiapan rapi bagi memastikan skuadnya mampu bersaing dengan gergasi Asia, selain memanfaatkan sokongan padu penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.
Saingan peringkat liga ACLE bakal berlangsung dari 15 September 2025 hingga 18 Februari 2026.
Lapan pasukan teratas liga akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Pusingan 16 pasukan terbaik akan diadakan pada 2 hingga 11 Mac ini, kemudiannya aksi suku akhir, separuh akhir dan final yang diadakan secara berpusat di Arab Saudi.-UTUSAN