LONDON: Lewis Hamilton mengakui dia memanfaatkan sepenuhnya cuti rehat selama tiga minggu untuk berehat dan mendapatkan semula tenaga selepas mengharungi separuh musim pertama yang sukar bersama Ferrari.
Tekanan semakin meningkat ke atas Hamilton akibat kekurangan keputusan cemerlang bersama Scuderia dan dia mencapai titik terendahnya selepas menamatkan Grand Prix (GP) Hunggary di tempat ke-12.
Kekecewaan itu mendorong komen mengejutkan daripada Hamilton yang menyifatkan dirinya sebagai tidak berguna malah mencadangkan agar Ferrari menggantikannya dengan pemandu lain.
Namun, menerusi hantara terbaharu di Instagram miliknya, Hamilton berkata dia sentiasa bersyukur dan tetap berusaha ke hadapan walaupun berdepan kesukaran.
“Saya sentiasa bersyukur untuk masa ini, peluang untuk berehat dan mengisi semula tenaga.
“Banyak perkara yang saya renungkan. Setiap daripada kita sedang menghadapi begitu banyak cabaran, baik secara individu mahupun global.
“Adalah sangat penting untuk kita menerima cahaya kebenaran dan kasih sayang serta menjaga diri sendiri supaya kita dapat menjaga orang lain dengan lebih baik. Kita tidak boleh berpaling. Kita mesti teruskan, walaupun sukar,” tulisnya.
Terdahulu, cakap-cakap mengenai persaraan Hamilton mula kedengaran apabila ada sesetengah pihak mempersoalkan sama ada dia mungkin berhenti berlumba sebelum kontraknya bersama Ferrari tamat pada 2026. – AGENSI