Tekanan, sakit boleh ganggu selera makan anak

Tekanan, sakit boleh ganggu selera makan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebelum memarahi anak kerana enggan makan, anda sewajarnya mengenal pasti apakah punca menyebabkan anak kehilangan selera makan atau terlalu cerewet dalam bab makan.

Anak yang sedang sakit biasanya akan hilang selera makan. Anak terutama yang masih kecil tidak memahami apa yang sedang mereka alami apatah lagi hendak menjelaskan kesakitan dialaminya kepada ibu bapa.

Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) dan pakar dalam masalah oral motor, pemakanan dan menelan pediatrik, Medical Centre, Sunway City, Oo Kah Pheng berkata, antara punca anak hilang selera makan adalah penyakit berjangkit seperti selesema, demam, sakit tekak atau jangkitan saluran pernafasan.

“Masalah pencernaan seperti sembelit, refluks gas atau perut kembung juga boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menghilangkan selera makan si anak. Penyakit kronik seperti kanser, anemia atau masalah tiroid juga boleh menjejaskan pemakanan mereka. Selain penyakit, perkembangan fizikal yang sedang dialami turut mempengaruhi selera mereka seperti pertumbuhan gigi bongsu atau gigi kekal,” katanya.

Perubahan hormon juga, katanya, boleh menjejaskan selera anak. Faktor emosi dan psikologi seperti stres, kebimbangan atau perubahan dalam rutin harian serta persekitaran yang kurang menye­nangkan ketika makan seperti makan bersendirian atau makan dalam suasana yang tegang atau bising.

Katanya lagi, kanak-kanak memerlukan struktur dan rutin konsisten untuk berasa tenang dan selamat.

Justeru, perubahan rutin seperti pindah rumah, pertukaran penjaga, perubahan waktu tidur atau waktu makan boleh mengganggu kestabilan emosi dan fisiologi mereka. Perubahan rutin jadual makan yang tidak konsisten juga akan menyebabkan kanak-kanak tidak lapar pada masa yang sesuai.

“Tekanan emosi atau persekitaran yang tidak stabil boleh mempengaruhi tabiat makan dalam beberapa keadaan seperti kestabilan sensori terganggu. Anak yang mengalami gangguan pada kestabilan emosi boleh menyebabkan mereka berasa tidak selamat atau tidak tenang.

“Keadaan ini akan mengganggu fungsi sistem saraf yang boleh mengakibatkan sistem badan anak tidak bersedia untuk menerima makanan. Tekanan emosi boleh menurunkan selera makan apabila badan berada dalam keadaan fight or flight.

“Keresahan dan stres atau cemas menghilangkan selera anak yang stres atau cemas mungkin menolak untuk makan, memilih untuk makan makanan yang tidak sihat, atau makan secara berlebihan sebagai mekanisme pengurusan emosi,”katanya.

Risiko gangguan perkembangan

Kah Peng berkata, kanak-kanak yang enggan makan berisiko mengalami gangguan perkembangan fizikal atau bermasalah pertumbuhan iaitu mereka mungkin gagal untuk mencapai berat dan ketinggian yang sepatutnya mengikut usia.

“Lebih mem­bimbangkan sekiranya perkembangan otot dan fizikal mereka boleh terganggu kesan daripada nutrien yang tidak mencukupi yang mana boleh menjejaskan perkembangan otot, tulang dan sistem saraf anak.

“Kekurangan vitamin dan mineral penting untuk pertumbuhan anak boleh menyebabkan anak mudah jatuh sakit. Ini berikutan kemerosotan sistem imun atau pertahanan badan yang tidak kukuh. Mereka juga berdepan risiko masalah emosi dan kognitif berikutan otak yang tidak mendapat nutrisi secukupnya boleh menjejaskan pembelajaran, daya fokus dan emosi anak,” katanya.

Memilih makanan atau benar-benar tidak lapar?

Anak yang memilih makanan biasanya mempunyai pilihan makanan yang sangat terhad, selalunya kurang daripada 30 jenis makanan secara keseluruhan, termasuk snek, hidangan utama dan buah-buahan. Mereka cenderung menolak makanan baharu dan hanya mahu makanan yang biasa mereka makan.

“Kanak-kanak yang benar-benar tidak lapar pula tidak mempunyai masalah dengan jenis makanan. Pada waktu lain, mereka boleh makan pelbagai jenis makanan tanpa masalah tetapi enggan makan kerana faktor sementara seperti sudah kenyang, leka bermain atau berasa letih.

“Memerhati corak pemakanan anak secara konsisten akan membantu ibu bapa mengenal pasti sama ada ia tabiat pemilihan makanan atau sekadar selera makan yang berkurang sementara,” katanya.

Katanya lagi, sebagai ibu bapa, perlu strategi yang berkesan untuk menarik minat anak untuk mencuba makanan baru. Justeru, bagi menarik selera mereka, sebaiknya babitkan anak dalam penyediaan makanan dengan mengajak anak membeli, memilih atau menyediakan makanan.

“Aktiviti bermain dengan makanan mengga­lakkan anak menyentuh, menghidu dan mencuba makanan baru da­lam suasana tenang. Pastikan mereka didedahkan dengan makanan yang berulang. Jangan putus asa jika anak menolak makanan baru. Kadangkala anak perlukan 10 hingga 15 kali pendedahan sebelum anak menerima makanan berkenaan.

“Gunakan kreativiti dalam persembahan ketika menghidangkan makanan. Bentuk makanan yang menyerupai haiwan, wajah kartun atau susunan warna yang menarik boleh meningkatkan minat anak untuk mencuba sesuatu makanan,” katanya.

Selain itu, tunjukkan sikap positif terhadap makanan. Elakkan komen negatif seperti “jangan makan banyak nanti gemuk” atau “sayur ini tak sedap”. Elakkan gangguan screen time atau melihat gajet semasa makan.

Elakkan paksaan semasa waktu makan

Kah Peng berkata, memaksa anak makan akan menambah tekanan dan seterusnya berakhir dengan tangisan yang menyebabkan mereka enggan makan. Sebaliknya wujudkan hubungan yang sihat dengan makanan.

“Elakkan menggunakan makanan sebagai ganjaran atau hukuman. Sediakan pilihan makanan yang sihat dan biarkan anak untuk memilih. Ini memberikan anak merasakan mereka mempunyai kawalan terhadap pilihan makanan mereka.

“Ibu bapa yang sibuk kadangkala mengabaikan pemakanan anak. Sebaiknya, pastikan jadual makan yang konsisten. Pastikan anak makan pada waktu tetap supaya mereka tahu bila masa makan akan tiba,” katanya.

Kah Peng berkata, walaupun anak cerewet dan memilih makanan ini tidak bermakna ibu bapa boleh membiarkan mereka makan makanan kurang sihat. Pastikan anak makan makanan yang seimbang merangkumi protein, karbohidrat, buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu.

“Snek sihat dan menarik juga boleh dihidangkan seperti potongan buah dalam bentuk bintang comel atau roti dalam bentuk kartun. Pilihan alternatif, sebagai contohnya, jika anak tidak suka sayur, cuba letakkan sayur dalam nugget buatan sendiri atau letakkan dalam sos pasta,”katanya.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu sabar dalam melayan kerenah anak dan memahami punca anak hilang selera makan. Apa yang penting anak dapat khasiat pemakanan yang diperlukan untuk pertumbuhan fizikal dan mental mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×