Teater kembali jadi wadah hiburan masyarakat

Teater kembali jadi wadah hiburan masyarakat

BARISAN pelakon dan produksi bergambar selepas pementasan teater Anak Kerbau Mati Emak di Auditorium JKKN Perlis baru-baru ini. – mingguan/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMENTASAN teater lazimnya mempunyai kelompok peminat tersendiri di mana tidak semua orang mampu menghayati atau memahami sesebuah naskhah yang disampaikan khususnya jika jalan ceritanya terlalu berat yang mana pelakon banyak bermain dengan monolog.

Namun, sejak kebelakangan ini, pementasan teater kembali disemarakkan khususnya di kawasan sebelah utara yang sebelum ini budaya menonton teater agak kurang khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ia terbukti dengan sambutan diterima ketika pementasan teater Anak Kerbau Mati Emak pada 15 dan 16 Ogos lalu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis yang menyaksikan auditorium berkenaan penuh sepanjang dua hari persembahan tersebut.

Sebelum ini, pementasan teater Asy Syura dan Madu Tiga Madu di auditorium berkenaan juga mendapat sambutan cukup hebat dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Abdul Rahman berkata, sambutan memberangsangkan itu membuktikan persembahan teater telah kembali menjadi wadah hiburan buat masyarakat.

Katanya, budaya menonton teater sebelum ini agak kurang mendapat sambutan khususnya buat generasi muda namun keadaan itu semakin berubah.

Ujar beliau, lakonan bagi pementasan teater sangat mencabar dan memerlukan kemahiran untuk menarik perhatian penonton dalam penyampaian naskhah yang dipersembahkan itu.

“Kehadiran penonton yang ramai ini juga adalah sebagai apresiasi terhadap karya-karya seni teater sekitar tahun atau era 70 dan 80-an yang telah lama tidak dipentaskan.

“Setiap pelakon yang terlibat dalam pementasan Anak Kerbau Mati Emak itu turut berjaya menyampaikan watak masing-masing dengan penuh penjiwaan. Pelakon semua hebat-hebat malah ada di antaranya telah mencipta nama di Kuala Lumpur dan merupakan anak jati Perlis.

“Selain itu, matlamat utama penganjuran teater tersebut juga adalah untuk menggalakkan keterlibatan masyarakat dalam seni iaitu meningkatkan apresiasi terhadap teater sebagai medium komunikasi dan refleksi sosial.

“Ia juga sebagai mengisi ruang kebudayaan negeri dengan cara menyokong hasrat kerajaan dalam menjadikan Perlis sebagai negeri yang aktif dalam seni persembahan,” katanya.

Pada pementasan teater Anak Kerbau Mati Emak hasil karya Malina Manja itu, penonton yang memenuhi segenap ruang Auditorium JKKN Perlis itu ‘ tidak kering gusi’ dan penuh keterujaan menyaksikan setiap babak disajikan.

Naskhah yang membawa mesej kemanusiaan dan konflik kehidupan masyarakat di dalam genre komedi itu berjaya disampaikan dengan cukup berkesan oleh barisan pelakon terdiri daripada Che Mat Raja Lawak; Fendy Bakry, Yaakob Aziz; Saiful Azwan, Nida Azizan, Zali Shuhali, Hafeds, Hazwani Tarisya dan Amin Razak.

Malah, sepanjang satu jam pementasan, auditorium gamat dengan gelak tawa penonton khususnya melihat gelagat Tawil yang dilakonkan Che Mat Raja Lawak.

Pementasan hasil olahan dan arahan Hairi Safwan yang digarap berkonsepkan realisme itu juga sarat dengan mesej kehidupan dalam masyarakat desa melibatkan isu tanah, cemburu, kemasyarakatan dan hubungan kekeluargaan.

Kisah bermula dengan babak Tawil yang meminta untuk diurut punggungnya setelah cedera disondol anak kerbau kematian emak. Namun begitu, proses mengurut tersebut terganggu dengan pelbagai masalah kampung termasuk isu tanah, kisah cemburu Kulup (Fendy Bakry) terhadap Cikgu Salim (Amin Razak) dan kebun Kamarun (Zali Shuhali) yang musnah angkara perbuatan anak kerbau mati emak serta kemelut rumah tangga Pak Mohsin (Saiful Azwan) dengan Mak Jumi (Nida Azizan).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri akan memastikan pementasan teater di Perlis terus dikembangkan untuk masyarakat.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC ) dan JKKN negeri kerana berjaya mengangkat semula teater ini.

“Meskipun teater ini sudah lama namun ia jarang diangkat semula. Apabila saya menyaksikan pementasan teater yang mendapat sambutan hebat ini, kita mesti meneruskan kesinambungan mengangkat semula pementasan teater. Malah, ia juga mendapat sambutan cukup hebat dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, Hairi Safwan berkata, teater Anak Kerbau Mati Emak ini terdapat sedikit olahan daripada beliau yang jika mengikut keseluruhan jalan cerita berkenaan akan memakan masa tiga jam.

Katanya, beliau terpaksa olah dan saratkan dengan elemen-elemen komedi dalam pementasan teater itu.

“Olahan yang dilakukan itu, saya cuba serasikan dengan pelakon. Setiap pelakon itu, ada babak-babak komedi mereka. Ada banyak juga teknik dalam teater yang kita ketengahkan dalam pementasan tersebut.

“Barisan pelakon juga ramai dalam kalangan anak jati negeri ini yang diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN