Taikun Malaysia bawa F1 ke Singapura mengaku salah

Taikun Malaysia bawa F1 ke Singapura mengaku salah

Taikun hotel Malaysia, Ong Beng Seng meninggalkan Mahkamah Negeri di Singapura. Beng Seng mengaku bersalah pada 4 Ogos 2025 atas pertuduhan yang dikaitkan dengan bekas menteri pengangkutan negara kota itu yang dipenjarakan kerana rasuah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Hartawan hotel kelahiran Malaysia, Ong Beng Seng yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula Satu (F1) ke Singapura, mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat menghalang keadilan.

Bilionair berusia 79 tahun itu didakwa membantu bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran menyembunyikan bukti semasa siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Beng Seng yang juga pemegang hak penganjuran Grand Prix (GP) F1 Singapura, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Daerah Singapura semalam dari kandang tertuduh berkaca.

Pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara dua bulan namun membuka ruang untuk mahkamah menggunakan budi bicara kehakiman susulan tahap kesihatan Beng Seng yang teruk.

Peguam bela Beng Seng, Cavinder Bull merayu agar hukuman penjara diganti dengan denda kerana anak guam mereka menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk kanser yang tidak dapat disembuhkan.

“Risiko terhadap nyawa Encik Beng Seng meningkat secara mendadak sekiranya beliau dipenjarakan. Lelaki ini sedang hidup di penghujung hayat,” kata Bull.

Pejabat Peguam Negara turut menyatakan mereka tidak membantah hukuman denda selepas meneliti bukti perubatan yang dikemukakan di mahkamah.

Ong dan Iswaran pernah dianggap figura penting dalam usaha membawa perlumbaan F1 malam pertama di dunia ke litar jalanan Singapura pada 2008.

Insiden ini mencemarkan reputasi Singapura sebagai tuan rumah tetap F1 dan salah satu negara yang paling tegas membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN