Syamer sedia mantapkan jentera tengah KL City FC

Syamer sedia mantapkan jentera tengah KL City FC

SYAMER KUTTY ABBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syamer Kutty Abba mahu menampilkan impak lebih besar dalam penampilannya bersama Kuala Lumpur City (KL City) FC musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu menjadi antara taruhan terbaharu pengendali, Risto Vidakovic, bagi memperkukuhkan lagi jentera tengah skuad Warga Kota.

Syamer dijangka bakal menjadi nadi penting dalam merencana gerakan skuad KL bagi musim ini, sekali gus muncul antara pencabar utama Liga Malaysia musim 2025/2026.

Selepas setahun dipinjamkan dari Penang FC, Syamer menganggap penghijrahan kali ini sebagai peluang keemasan untuk melonjakkan semula prestasinya.

“Ini lembaran baharu buat saya. Selepas semusim bersama Penang FC, saya mahu beri aksi lebih mantap bersama KL City.

“Matlamat saya jelas mahu rebut tempat dalam kesebelasan utama dan pastikan nama saya tersenarai setiap kali panggilan skuad kebangsaan,” tegas Syamer.

Musim lalu, Syamer beraksi dalam 21 perlawanan Liga Super bersama Penang, membantu pasukan itu menamatkan saingan di tangga ke-10 dengan kutipan 26 mata.

Semangatnya kini kian membara apabila Harimau Malaya dijadual berdepan Singapura dan Palestin pada aksi persahabatan antarabangsa jendela FIFA bulan depan.

Untuk rekod, Syamer pernah dipanggil menyarung jersi negara bagi aksi Tier 1 menentang Cape Verde, namun tersisih ketika menentang Vietnam.

Hari ini, Syamer dijangka membarisi kesebelasan utama skuad KL City dalam aksi pertama Liga Super menentang Imigresen FC di gelanggang lawan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN