MONTREAL: Juara Wimbledon, Iga Swiatek memulakan kempen Terbuka Kanada dengan langkah kanan apabila mudah mengetepikan pemain kelayakan China, Guo Hanyu 6-3, 6-1 di pusingan kedua, semalam.
Pemain pilihan kedua itu memecahkan servis lawannya sebanyak enam kali dalam aksi sulungnya selepas menjuarai Wimbledon bulan lalu.
Berbeza dengan Swiatek, Naomi Osaka terpaksa bekerja keras sebelum bangkit menewaskan pilihan ke-15, Liudmila Samsonova 4-6, 7-6 (8/6), 6-3 selepas menyelamatkan dua mata match.
Osaka yang baru memutuskan kerjasama dengan Patrick Mouratoglou dan kini dibimbing Tomasz Wiktorowski, sebelum ini tewas dalam empat perlawanan tiga set berturut-turut.
“Dia memang bermain sangat agresif, dan saya jadi tertekan sebab tak tahu sama ada patut lawan pukulan dengan pukulan.
“Tapi saya cuba sedaya upaya untuk kekalkan bola dalam gelanggang dan akhirnya ia berhasil,” kata Osaka.
Samsonova yang mara ke suku akhir Wimbledon sebelum ini, dua kali mendahului dengan break awal dan hampir mencipta kejutan apabila mendahului 5-4 dan 40-15 dalam set kedua.
Namun satu pukulan jauh dan drop shot lembik membuka ruang buat Osaka bangkit sebelum dua break pantas dalam set penentuan memastikan tiket pusingan ketiga menjadi miliknya.
Osaka selepas ini bakal berdepan cabaran pilihan ke-10 dari Latvia, Jelena Ostapenko yang menewaskan Renata Zarazua dari Mexico 6-2, 4-6, 6-2 dalam satu lagi aksi.
Turut mencuri tumpuan ialah juara Terbuka Australia, Madison Keys yang mudah membenam Laura Siegemund 6-2, 6-1 bagi membalas dendam kekalahannya di Wimbledon bulan lalu. – AGENSI