LONDON: Tottenham Hotspur dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Bournemouth sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Skuad kendalian Thomas Frank gagal mencipta sebarang percubaan tepat sehingga minit ke-69 sebelum sepakan Lucas Bergvall ditepis Djordje Petrovic.
Kecewa dengan persembahan hambar itu, penyokong Spurs melaungkan ejekan ‘boo’ pada separuh masa pertama dan selepas tamat perlawanan.
“Saya lebih suka mereka tidak boo, tetapi saya faham. Ia bukan persembahan yang baik dan mereka berhak meletakkan harapan tinggi.
“Saya rasa pemain sudah beri segalanya di padang, tetapi dari segi bola sepak kami tidak capai tahap terbaik hari ini,” kata Frank.
Spurs jelas kekurangan kreativiti di bahagian serangan, malah Frank mengakui skuadnya perlu segera menyesuaikan diri dengan pelbagai corak lawan.
Beliau percaya kemasukan Xavi Simons yang baru ditandatangani mampu memberi kelainan dengan kreativiti serta kemampuan menghasilkan sesuatu daripada situasi sukar.
Tottenham kini perlu segera bangkit sebelum saingan Liga Juara-Juara Eropah bermula bulan depan bagi mengelak terus dibayangi masalah musim lalu. – AGENSI