Program Semangat Penglibatan Aktiviti Remaja Kokurikulum atau SPARK yang dilaksanakan di SMK Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang, berjaya mencetuskan gelombang baharu dalam penyertaan murid terhadap aktiviti kokurikulum sekolah.
Program ini merupakan inisiatif kreatif yang diilhamkan oleh Puan Azharizah Saimi, seorang guru yang sedang mengikuti perantisan kepengetuaan bagi program National Professional Qualification for Educational Leaders. Matlamat utama program tersebut adalah untuk menggalakkan kehadiran serta penglibatan aktif murid dalam aktiviti kokurikulum, sekali gus meningkatkan kehadiran kokurikulum pada setiap minggu.
Antara aktiviti menarik yang diperkenalkan termasuk pendedahan permainan stacking cup yang menerima sambutan positif dalam kalangan murid kerana sifatnya yang menyeronokkan dan mencabar koordinasi motor halus.
Lebih menarik, program ini turut memperkenalkan kemahiran asas balingan yang disampaikan oleh atlet BFA IV Women’s Baseball Asian Cup. Kehadiran tokoh sukan berprestij ini memberi inspirasi besar kepada murid yang terlibat dalam kelab dan persatuan sukan sekolah.
Kerjasama luar juga memainkan peranan penting dalam kejayaan program ini. Syarikat Yakult Malaysia turut serta memperkenalkan seni tari tali, satu aktiviti seni yang memperkukuh kemahiran koordinasi dan kreativiti murid sambil memupuk semangat kerja berpasukan. – UTUSAN