SEOUL: Pemain Korea Selatan, Son Heung-min mengumumkan keputusan mengejut meninggalkan Tottenham Hotspur selepas sedekad bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Penyerang berusia 33 tahun itu mengumumkan keputusan tersebut dalam sidang akhbar emosional semasa jelajah pramusim kelab di Seoul, Korea Selatan, hari ini.
“Sebelum sidang akhbar bermula, saya ingin maklumkan saya telah membuat keputusan meninggalkan kelab musim panas ini.
“Ini keputusan paling sukar pernah saya buat sepanjang kerjaya, tapi saya perlukan perubahan selepas 10 tahun di sini,” kata Heung-min.
Son yang membantu Spurs menamatkan kemarau 41 tahun kejuaraan Eropah dengan menjulang trofi Liga Europa Mei lalu, tidak mendedahkan destinasi seterusnya namun dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Amerika Syarikat (MLS).
“Saya menangis ketika memikirkan keputusan ini. Saya datang ke utara London sebagai budak 23 tahun, dan pulang sebagai lelaki dewasa yang bangga,” ujarnya.
Dalam pada itu, bos baharu Spurs, Thomas Frank mengakui kecewa tidak berpeluang bekerjasama dengan kapten skuad itu yang disifatkannya sebagai legenda sejati.
“Dia salah seorang pemain terbaik dalam sejarah Liga Perdana dan ikon sebenar kelab ini,” kata Frank.
Son dijangka menerima sambutan gemuruh apabila Spurs turun menentang Newcastle di hadapan penyokong tuan rumah di Seoul esok. – AGENSI