KUALA LUMPUR: Barisan pelumba trek negara meraih dua pingat termasuk satu emas pada Piala Asia Trek di Suphanburi, Thailand, hari ini.
Gandingan Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Akmal Nazimi Jusena menghadiahkan emas dalam acara pecut berpasukan lelaki.
Trio negara itu terlalu ampuh buat pencabar dari Kazakhstan yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Tuan rumah Thailand pula menutup saingan dengan pingat gangsa.
Dalam acara scratch wanita elit, Nur Aisyah Zubir berjaya menyumbang pingat gangsa.
Acara itu dimenangi pelumba Uzbekistan, Asal Rizaeva manakala perak menjadi milik Valencia Tan.
Tumpuan esok bakal terarah kepada bekas juara Asia, Azizulhasni Awang yang turun dalam acara pecut elit lelaki.
Azizulhasni kini memburu kebangkitan selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara keirin, Khamis lalu. – UTUSAN