PETALING JAYA: Atlet angkat berat remaja wanita kebangsaan, Siti Aqilah Farhana Draman berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Angkat Berat Komanwel yang diadakan di Ahmedabad, India hari ini.
Beraksi di Kompleks Sukan Veer Savarkar, atlet berusia 19 tahun itu memenangi kategori 86 kilogram (kg) selepas mengangkat bebanan 107 kg bagi acara snatch dan 120kg dalam acara clean & jerk menjadikan jumlah keseluruhan 227kg.
Pingat perak dimenangi atlet Canada, Angel Billen selepas melakukan angkatan keseluruhan 225kg manakala gangsa milik Anika Falasia dari New Zealand (217kg).
Sementara itu, Mohd Faris Haikal membawa pulang perak dalam kategori remaja lelaki 110kg selepas melakukan jumlah angkatan keseluruhan 315kg di belakang Isyss Schuster dari New Zealand (338kg). – UTUSAN