PUTRAJAYA: Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya perbicaraan kes berprofil tinggi disiarkan secara langsung akan dirujuk kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu perlu mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada sebelum ia boleh direalisasikan.
Beliau berkata, ketika ini sudah ada perbicaraan yang dibuat secara rakaman namun, belum ada yang disiarkan secara langsung.
“Saya tak pasti ada peraturan undang-undang, tapi kena minta kebenaran mahkamahlah untuk disiarkan secara langsung… perbicaraan saya tak pasti, saya kena rujuk tetapi selalunya rakaman (dirakam).
“Saya rasa kita kena bincangkan kalau betul serius, kena bincang dengan Ketua Hakim Negara,” katanya ditemui selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini, pagi ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mahu prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.
Media sebelum ini melaporkan, cadangan oleh SPRM itu bertujuan menunjukkan ketelusan kerajaan dalam menangani kes rasuah sekali gus membolehkan orang awam menilai sendiri perjalanan kes tersebut.
Azam dilaporkan berkata, ketika ini, ada segelintir pihak menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta yang didedahkan di mahkamah sehingga menyebabkan berlaku tohmahan-tohmahan tidak sepatutnya.
Sementara itu, Azalina berterima kasih di atas pertimbangan kerajaan untuk menubuhkan Kementerian Undang-undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.
“Itu keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim..saya nak ucap terima kasih. Jadi biarlah PM buat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan sedia mempertimbang penubuhan Kementerian Undang-Undang sebagai langkah membolehkan Malaysia berperanan lebih bermakna di peringkat ASEAN dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, Malaysia sedang meneliti kaedah terbaik memperkukuh sistem perundangan negara termasuk cadangan menubuhkan Kementerian Undang-Undang khusus. – UTUSAN










