KOTA BELUD: Semangat kemerdekaan wajar terus mekar di jiwa setiap rakyat negara ini sepanjang masa dan bukan hanya ketika menjelang sambutan hari bersejarah itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan hari kebangsaan perlu terus disemarakkan sepanjang masa oleh rakyat pelbagai kaum.
Justeru, katanya, sambutan hari kebangsaan terus disemarakkan dengan pelbagai program komuniti yang menggalakkan gaya hidup sihat, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
“Inisiatif komuniti kampung atas kejayaan menganjurkan pelbagai program kesihatan dan sukan sebagai pengisian sambutan hari kebangsaan tahun ini harus dipuji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Karnival Kesihatan anjuran Persekutuan Muda Mudi (PMM) SIB Pinasang Tamu Darat di sini hari ini.
Menurut Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, usaha masyarakat akar umbi mengendalikan program sempena hari kebangsaan bukan hanya mampu mengeratkan hubungan silaturahim, sebaliknya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.
“Program seumpama itu memberi peluang komuniti setempat memupuk semangat perpaduan, selain mengingatkan mengenai pentingnya menjaga kesihatan tubuh, pemikiran, perlakuan dan rohani dalam kehidupan berkomuniti,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon mengulangi komitmennya untuk terus memberi sokongan pengendalian kegiatan bermanfaat seumpama itu oleh penduduk Kadamaian. – UTUSAN










