Buli bukan lagi dianggap masalah kecil, tetapi krisis sosial yang semakin mengakar dalam sistem pendidikan kita.
Ia tidak hanya meninggalkan luka fizikal, malah mencederakan emosi dan keyakinan diri pelajar.
Setiap insiden buli adalah tanda kegagalan kita untuk menjadikan sekolah tempat yang benar-benar selamat untuk anak-anak belajar, berkembang, dan membina masa depan.
Statistik Kementerian Pendidikan merekodkan lebih 23,000 kes buli antara tahun 2018 hingga 2022.
Angka ini amat membimbangkan, dan ia semakin terasa dengan dua insiden terkini yang menggemparkan masyarakat; kematian tragis seorang pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, dipercayai ada unsur elemen buli di asrama, serta kes pukul di sebuah sekolah berasrama penuh melibatkan pelajar senior.
Kedua-dua kes ini membuktikan bahawa buli bukan sahaja mencederakan tubuh, tetapi boleh meragut nyawa dan merosakkan kehidupan.
Dalam menangani isu berkenaan, pelajar bukan sekadar mangsa atau pelaku, mereka juga adalah kunci penyelesaian. Budaya sekolah yang selamat hanya dapat terbentuk apabila pelajar berani menolak budaya buli dan tampil sebagai upstander. Peranan pelajar amat penting:
Sebagai rakan yang peka, pelajar perlu berani menegur rakan yang menunjukkan tingkah laku membuli dan tidak membiarkan ia berterusan.
Mereka juga perlu tampil sebagai saksi yang berani. Ramai pelajar memilih diam kerana takut menjadi mangsa seterusnya. Di sinilah keperluan kepada mekanisme perlindungan upstander, memastikan pelajar yang melaporkan tidak didedahkan identiti atau dihukum balik.
Pelajar juga perlu bertindak sebagai ejen perubahan budaya. Normalisasi “buli sebagai perkara biasa” hanya boleh diubah apabila majoriti pelajar menolak naratif tersebut. Sebagai pemimpin masa depan, melawan buli adalah latihan kepimpinan. Apabila pelajar belajar untuk melindungi rakan, mereka sedang belajar memimpin dengan empati, keberanian, dan rasa tanggungjawab.
Di pihak sekolah, guru dan guru besar tetap memainkan peranan penting sebagai pendukung utama. Guru perlu melatih pelajar dengan kemahiran empati, komunikasi berhemah, dan pengurusan konflik. – UTUSAN
Nurhakimah Mohamud ialah Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak.