WASHINGTON: Pemain No.1 dunia, Scottie Scheffler muncul juara Kejohanan BMW selepas mengatasi Robert MacIntyre dengan dua pukulan di Caves Valley, Baltimore, hari ini.
Scheffler yang bermula empat pukulan di belakang, menamatkan pusingan akhir dengan 67 pukulan, tiga bawah par untuk mengumpul keseluruhan 265 pukulan, 15 bawah par.
Kemenangan ini menjadikannya pemain pertama selepas Tiger Woods pada 2006/2007 yang meraih lima kejuaraan atau lebih dalam dua musim berturut-turut.
Aksi magis Scheffler hadir di lubang ke-17 apabila pukulan cip dari jarak 82 kaki terus masuk ke dalam lubang sekali gus mengekalkan kelebihan dua pukulan.
“Apabila mendapat hole-in chip seperti itu memang luar biasa. Bola nampak cantik sejak ianya mendarat dan saya lega apabila ianya masuk.
“Saya sebenarnya hampir hendak terus serang bendera, tetapi saya pilih bermain selamat dan syukur par pun bukan skor buruk di lubang itu,” kata Scheffler.
Sementara itu, MacIntyre yang memburu kemenangan wire-to-wire, gagal mengekalkan rentak selepas mencatat tiga bogey dalam lima lubang pertama.
“Ianya permulaan yang teruk. Saya ingat boleh terus tekan pedal dan kekalkan prestasi, tetapi bola berlumpur banyak sekali gus menjejaskan permainan,” kata pemain Scotland itu. – AGENSI