KUALA LUMPUR: Setelah lama memendam perasaan, pelakon, Linda Hashim mendedahkan punca sebenar dirinya tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan seperti didakwa suaminya yang juga aktor, Beego.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata, keputusan itu dibuat kerana bimbang dikasari selain anak-anak mereka turut berdepan trauma akibat insiden kekasaran rumah tangga sebelum ini.
“Ada empat sebab kenapa saya tak balik ke rumah selama sembilan bulan. Pertama, saya kena pukul. Kedua, anak-anak saya tak nak balik kerana mereka trauma.
“Ketiga kunci rumah ada pada dia dan keempat apabila saya balik rumah, dia akan mangga pintu rumah dari luar.
“Saya ada saksi yang tolong memotong mangga. Selama ini saya diam, sekarang saya beritahu perkara sebenar,” katanya.
Linda berkongsi perkara itu selepas selesai mendengar keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia turut memiliki laporan polis serta surat perintah larangan mengganggu atau mendekati (OACC) yang menghalang Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, daripada mendekati dirinya.
“Saya ada laporan polis dan juga perubatan. Walaupun begitu, atas dasar perikemanusiaan, saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak,” ujarnya.
Dalam masa sama, Linda memberi amaran kepada Beego agar tidak lagi melakukan provokasi terhadap dirinya dan anak-anak.
Tegasnya, dia mempunyai pelbagai bukti perbuatan suaminya itu yang boleh digunakan di mahkamah.
“Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang. Jangan sebar fitnah dan manipulasi.
“Jangan tambah-tambah cerita dan memprovokasi sebab saya langsung tak ganggu hidup dia. Baru saya muat naik mengenai anak-anak, dia sudah kata saya provokasi dia.
“Belum lagi saya dedahkan bukti-bukti yang banyak dalam telefon saya. Ini amaran saya!” katanya.
Tambah Linda, sejak mereka tidak lagi tinggal sebumbung, dia tidak pernah sekali pun mengganggu kehidupan Beego.
“Kalau dia nak bekerja atau buat siaran langsung, silakan. Saya tak pernah kacau hidup dia.
“Tapi dia pula yang ganggu saya sampai menjejaskan mental saya dan anak-anak. Jadi, untuk apa saya teruskan perkahwinan ini?”katanya.
Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan tiada lagi persefahaman.
Sebelum itu, pada 27 Mac 2023, pasangan ini pernah bercerai talak satu sebelum kembali rujuk pada 9 April 2023.
Bagaimanapun, Linda mendedahkan mereka sekali lagi bercerai selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Untuk rekod, hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.-UTUSAN