NEW YORK: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka bangkit daripada permulaan goyah sebelum menundukkan Rebeka Masarova dari Switzerland 7-5, 6-1 untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka AS, hari ini.
Juara bertahan itu kini dalam misi menjadi pemain wanita pertama mengekalkan gelaran sejak Serena Williams pada 2014.
Sabalenka pada awalnya ketinggalan 2-3 selepas dipatahkan servis, namun segera bangkit merampas semula permainan dan memenangi set pertama.
Pada set kedua, Sabalenka hampir terperangkap selepas ketinggalan 0-40 dalam servis pertama, namun bangkit untuk mendominasi sehingga mendahului 5-0.
Masarova cuba melawan dengan memenangi satu permainan, namun Sabalenka menutup aksi dengan kemenangan bergaya.
Pemain Belarus berusia 27 tahun itu akan menentang wakil Rusia, Polina Kudermetova pada pusingan kedua, Rabu ini. – AGENSI