Saaran angkat nama negara di pentas bola sepak dunia

Saaran angkat nama negara di pentas bola sepak dunia

SAARAN Nadarajah terima Pengurniaan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM)sempena Hari Ulang Tahun Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengiktirafan antarabangsa yang diterima Datuk Saaran Nadarajah bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya simbol kejayaan anak Malaysia yang berjaya meletakkan nama negara dalam ekosistem bola sepak dunia.

Pengurniaan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk kepadanya sempena Hari Ulang Tahun Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, menjadi bukti sumbangan besar figura berusia 54 tahun itu terhadap pembangunan sukan negara.

Bagi Saaran, seorang peguam berpengalaman, gelaran tersebut adalah penghormatan buat seluruh perjalanan panjang beliau dalam membina, mengurus dan memartabatkan bola sepak, baik di peringkat negeri, nasional mahupun antarabangsa.

Kariernya bermula di Negeri Sembilan apabila beliau menerajui Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) sebagai Naib Presiden sejak 2018, di samping mengetuai Kelab Bolasepak NSIA dan Majlis Sukan India Negeri Sembilan.

Rekod kepimpinan yang cemerlang melonjakkan namanya ke pentas lebih besar apabila dipilih sebagai Ahli Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021 hingga 2025.

Kepercayaan itu berterusan apabila Saaran kemudian diberi mandat sebagai Naib Presiden FAM untuk penggal 2025 hingga 2029.

Beliau turut diberi amanah memimpin beberapa jawatankuasa penting antaranya Jawatankuasa Peraturan dan Undang-undang, Jawatankuasa Status serta Jawatankuasa Pertimbangan Dalaman.

Sumbangannya tidak terhenti di peringkat tempatan apabila Saaran turut memainkan peranan sebagai ahli Jawatankuasa Rayuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2009 hingga 2023, sebelum dilantik ke Jawatankuasa Tatatertib AFC bagi penggal 2023 hingga 2027.

Lebih membanggakan, Saaran kini berkhidmat sebagai arbitrator di International Court of Sports (CAS) di Lausanne, Switzerland satu kedudukan berprestij yang meletakkannya sebagai wakil Malaysia dalam menentukan hala tuju bola sepak antarabangsa.

Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa anak Malaysia bukan sahaja mampu mengurus bola sepak di tanah air, malah turut diiktiraf sebagai tokoh berwibawa dalam menyumbang kepada perundangan, tatakelola dan integriti sukan di peringkat dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN