Kerajaan Negeri Sabah sedia membantu menyelesaikan pembinaan bangunan asrama Cahaya Kasih di Kampung Malinsau Darat, Ranau, Sabah yang tertangguh disebabkan kekangan kewangan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata Kerajaan Negeri Sabah akan melihat terlebih dahulu keperluan untuk menyiapkan pembinaan asrama itu, sebelum menyalurkan sumbangan.
“Saya akan melihat apa yang perlu disumbangkan sama ada kerajaan atau menerusi peruntukan wakil rakyat untuk memastikan kemudahan itu dapat diselesaikan pembinaannya.
“Asrama berkenaan berupaya menempatkan kira-kira 20 murid pada satu-satu masa dibangun mengguna dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Majlis Gereja-Gereja Sabah,” katanya selepas Meninjau projek itu di Ranau, baru-baru ini.
Beliau berkata, inisiatif pembinaan bangunan asrama itu digerakkan penduduk Kampung Malinsau Darat bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gabungan untuk membantu murid yang tinggal jauh mudah datang ke sekolah. Katanya, projek bernilai kira-kira RM230,000 itu turut menerima sumbangan tanah yang diwakafkan penduduk setempat yang prihatin terhadap kesukaran ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kerana jarak perjalanan yang jauh.
Pengerusi projek yang juga Guru Besar SK Gabungan, Rudi Burain berterima kasih kerana keprihatinan Dr. Joachim, sekali gus bakal menyalurkan sumbangan untuk menyelesaikan pembinaan kemudahan yang tertangguh itu.
“Kami dalam komuniti ini sepakat membina asrama dengan bantuan NGO daripada seluruh Sabah. Setakat ini, kemajuan pembinaan sudah mencecah 90 peratus, tetapi masih ada beberapa peralatan perlu disediakan sebelum boleh beroperasi,” katanya. – UTUSAN