LONDON: Pengarah pasukan Formula Satu (F1) Red Bull, Christian Horner telah dilucutkan jawatannya serta-merta.
Dalam pemfailan berasingan kepada Companies House UK kelmarin, Red Bull Racing Ltd, Red Bull Technology Ltd dan Red Bull Powertrains Ltd mengumumkan bahawa Horner tidak lagi menjadi pengarah.
Namun, tiada maklumat lanjut diberikan dalam dokumen-dokumen tersebut, termasuk sebab di sebalik pemergian Horner daripada syarikat-syarikat itu.
Langkah itu diambil sebulan selepas Horner dipecat sebagai ketua pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif dengan Laurent Mekies dinaikkan pangkat untuk mengambil alih tugas tersebut.
Dalam mesej perpisahan kepada kakitangan pasukan di Milton Keynes, Horner menjelaskan bahawa dia masih kekal sebagai pekerja syarikat tetapi secara operasinya, tanggungjawab akan diserahkan.
Difahamkan Horner diberikan cuti panjang sehingga akhir tahun ini dan selepas itu dia bebas untuk menyertai pasukan lain.
Horner telah bersama Red Bull sejak penubuhannya pada tahun 2005 dan membimbing pasukan itu memenangi lapan gelaran pemandu dan enam gelaran pengeluar sepanjang dua dekad menerajui pasukan tersebut. – AGENSI