Rakyat diseru perbaharui komitmen, kekalkan perpaduan - Pas

Rakyat diseru perbaharui komitmen, kekalkan perpaduan – Pas

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh bersejarah 31 Ogos 1957 bukan sahaja perlu disambut sebagai hari perayaan, tetapi juga ruang untuk menilai dan memperbaharui komitmen terhadap idea serta cita-cita penubuhan negara.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarikh itu juga adalah detik pembebasan daripada belenggu penjajahan serta penzahiran cita-cita luhur generasi pengasas negara yang meletakkan asas kukuh berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“Sambutan Hari Kemerdekaan negara wajar dijadikan wadah untuk kita berhenti sejenak, bukan untuk sekadar meraikannya, tetapi untuk menilai dan membaharui komitmen kita pada idea dan cita-cita penubuhan Malaysia. 

“Marilah kita sama-sama bermuhasabah sejauh mana kita telah menterjemahkan semangat kemerdekaan itu dalam segenap aspek kehidupan bernegara, terutama bagi mereka yang mewarisi kepimpinan negara, daripada tadbir urusnya sehinggalah kepada hubungan sesama anggota masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Pas turut mengingatkan rakyat agar tidak melupakan sumbangan dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan, negarawan, anggota pasukan keselamatan, pendidik dan rakyat biasa yang menumpahkan keringat, air mata serta darah demi kedaulatan tanah air.

Katanya, realiti kepelbagaian agama, bangsa dan budaya bukanlah kekangan, sebaliknya ia merupakan kekuatan yang perlu diraikan dengan penuh hikmah berlandaskan nilai kemanusiaan serta prinsip Perlembagaan negara.

“Nilai-nilai murni kemerdekaan, semangat perpaduan dalam kepelbagaian, serta keluhuran Perlembagaan harus dijadikan kompas untuk mendepani cabaran mendatang. 

“Pas akan terus komited mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung Perlembagaan Persekutuan, memelihara institusi Raja-raja Melayu, serta memastikan keadilan dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN