NEW YORK: Emma Raducanu menamatkan badi empat tahun di Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila mencatat kemenangan bergaya menewaskan pemain kelayakan Jepun, Ena Shibahara 6-1, 6-2, awal pagi tadi.
Juara 2021 itu tampil penuh keyakinan di gelanggang Stadium Louis Armstrong dengan aksi bertenaga mematahkan servis lawan hampir setiap set.
Raducanu mengakui kemenangan ini cukup melegakan selepas gagal mara melepasi pusingan pertama sejak kejayaan bersejarahnya empat tahun lalu.
“Saya sangat gembira dapat melepasi perlawanan ini, pusingan pertama sentiasa mencabar dan saya memang terlalu mahukan kemenangan di sini.
“Sudah empat tahun saya menunggu, kejohanan ini sangat istimewa buat saya dan ia sentiasa bermain di fikiran, jadi saya amat lega dapat mengatasinya kali ini,” kata Raducanu.
Raducanu yang tidak beraksi pada edisi 2023 akibat kecederaan mengakui beliau agak gementar pagi tadi kerana jadual padat dan perlu beraksi awal.
Namun selepas mendapat semangat baharu sebaik sahaja bersiap di bilik persalinan, beliau terus menguasai rentak permainan dan mempamerkan keyakinan tinggi.
Pemain berusia 22 tahun itu yang menyifatkan Terbuka AS sebagai ‘tempat gembira’ kini bakal berdepan wakil kelayakan dari Indonesia, Janice Tjen yang mengejutkan pilihan ke-24, Veronika Kudermetova hari ini. – AGENSI