PETALING JAYA: Petanque, muaythai dan silambam dicadangkan sebagai acara tambahan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 hasil keputusan terkini Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
Menerusi kenyataan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, cadangan itu dikemukakan Sekretariat SUKMA Selangor kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas meneliti permohonan dan rayuan daripada persatuan sukan kebangsaan serta negeri.
“Atas semangat kebersamaan dan demi memacu pembangunan sukan negara, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju mencadangkan tiga sukan tambahan iaitu petanque, muaythai dan silambam untuk dipertandingkan dalam SUKMA XXII Selangor 2026.
“Cadangan ini merupakan bukti dan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan bermula di peringkat akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, keputusan akhir tertakluk kepada persetujuan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan sebelum 15 Ogos ini.
Tiga sukan tersebut sebelum ini tidak tersenarai dalam senarai rasmi acara yang diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada 5 Ogos lalu.
Kenyataan itu turut menegaskan semua pihak menghentikan usaha mempolitikkan sukan termasuk memainkan sentimen perkauman yang sempit dan memecahbelahkan.
Katanya, tumpuan utama penganjuran SUKMA adalah melahirkan lebih ramai atlet pelapis yang mampu menyinar hingga ke pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – UTUSAN