Percik perut ayam tetap laris

Percik perut ayam tetap laris

WAN Farhanim Gustina Wan Hassan bersama menu utama percik perut ayam di Kok Lanas, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN penggemar makanan hanya mengenal ayam percik sebagai juadah Kelantan yang dibakar separa garing dan disiram kuah rempah yang pekat.

Namun, sebuah restoran di Kok Lanas, Kota Bharu tampil dengan kelainan yang jarang ditemui, iaitu bahagian unik ayam seperti perut, pedal, kulit, hati dan tengkuk dijadikan masakan percik dan sebagai menu utama yang laris.

Restoran Ayam Percik Warisan Mek Wohid yang diusahakan pasangan muda, Wan Farhanim Gustina Wan Hassan, 34, bersama suaminya, Muhammad Firman Rushdi, 35, mempertaruhkan warisan resipi turun-temurun peniaga makanan sohor dalam tahun 1980-an di Jalan Hamzah, Allahyarham Mek Wahidah Abdul Wahid.

Menurut, Wan Farhanim perniagaannya bermula secara kecil-kecilan di bazar Ramadan Kok Lanas pada 2015, hanya menjual ayam percik menggunakan resipi asli keluarga.

“Namun enam tahun kemudian, usaha gigih kami berkembang menjadi restoran tetap yang bukan sahaja mengekalkan cita rasa tradisi, malah menawarkan pelbagai inovasi percik yang mendapat sambutan luar biasa,” katanya.

Menurutnya, ayam percik dijual dengan harga RM24 satu perangan (dua ketul sebelah) dan kelainan di restoran ini terletak pada pilihan bahagian ayam yang dipercik.

“Bahagian perut, pedal, hati, tengkok, kulit dan kaki ayam dijadikan sajian percik istimewa, disusun elok di atas bara sebelum disiram kuah rempah yang likat dan beraroma.

Restoran Ayam Percik Warisan Mek Wohid
Lokasi: Kok Lanas, Kelantan
Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 5 petang
Tempahan & Pos Frozen: WhatsApp terus melalui akaun media sosial rasmi
Menu utama: Ayam percik, kulit, pedal, perut, tengkok, hati ayam percik
Lauk harian: Gulai tempoyak patin, ikan bakar, sup keting, kari lemak
Sarapan: Roti bakar, nasi berlauk dan kuih muih
Produk frozen: Percik dan lauk pauk, pos ke seluruh Semenanjung Malaysia.

——————————————————————————————

“Hampir setiap hari pelanggan akan minta kulit dan perut percik. Mereka kata inilah tempat satu-satunya yang jual percik cara begini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Wan Farhanim mengakui konsep ini tercetus daripada minatnya sendiri terhadap bahagian ‘rare’ ayam.

Menurutnya, kadar harga serendah RM1.50 untuk secucuk kulit ayam percik, dan RM2.50 untuk pedal, hati atau tengkuk, sajian ini bukan sahaja mampu milik, malah memberi pengalaman rasa yang luar biasa.

Dalam memenuhi permintaan pelanggan, dia berkata, sebanyak 40 jenis lauk pauk tradisional sampingan disediakan termasuk menyediakan sambal belacan, budu dan ulaman.

“Termasuklah ikan selar, kembung, keli dan bawal yang dimasak pelbagai cara – daripada goreng sambal hinggalah gulai darat dan kari lemak.

“Salah satu hidangan yang turut digemari adalah gulai asam pedas patin tempoyak – pekat, masam dan penuh rasa umami yang menambat hati. Tidak ketinggalan, sup daging keting, sup tulang dan sup perut yang sering menjadi rebutan terutamanya pada waktu makan tengah hari,” katanya.

Suaminya, Firman pula berkata, pengurusan kerja dapur dan masak memasak bermula seawal pukul 6 pagi setiap hari dibantu lima pekerja.

Tidak sekadar makan tengah hari, katanya, restoran ini juga menjadi pilihan ramai seawal pagi kerana menyajikan menu sarapan seperti roti bakar, nasi berlauk, dan aneka kuih-muih Kelantan.

“Satu lagi keistimewaan restoran ini adalah produk ayam percik sejuk beku boleh dipesan secara dalam talian. Dibungkus rapi dan dimasak separa siap, pelanggan hanya perlu memanaskannya semula di rumah untuk menikmati rasa asli percik Mek Wohid.

“Setakat ini kami pos ke seluruh Semenanjung Malaysia. Ramai pelanggan tetap dari Kuala Lumpur dan Johor yang beli untuk stok sebulan,” kata Firman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×