Perarakan murid sekolah rendah DUN Johol menjelang hari kebangsaan

Perarakan murid sekolah rendah DUN Johol menjelang hari kebangsaan

LEBIH 100 orang murid dari 12 buah sekolah rendah sekitar DUN Johol menyertai perarakan menjelang hari kebangsaan pada program Karnival Anak Merdeka DUN Johol di Dewan Renggoh, Johol, Kuala Pilah hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, lebih 100 murid dari 12 buah sekolah rendah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol menyertai acara perarakan yang diadakan di Dewan Renggoh, Johol di sini pagi tadi.

Menarik perhatian apabila semua murid-murid yang terlibat berarak sambil memperagakan pakaian tradisional yang mewakili pelbagai kaum di negara ini selain busana tradisional masyarakat Melayu Negeri Sembilan.

Acara perarakan itu merupakan sebahagian aktiviti dalam penganjuran program Karnival Anak Merdeka DUN Johol.

Pengerusi program, Datin Zawayah Marzuki, 57, berkata, penganjuran perarakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid sekolah tentang semangat perjuangan pemimpin dan tokoh kemerdekaan negara.

“Aktiviti perarakan ini seperti menghidupkan semula suasana ketika rakyat memberi semangat kepada Allahyarham Tuanku Abdul Rahman yang mahu ke London untuk berunding mencapai kemerdekaan.

“Elemen kebudayaan yang diterapkan juga penting untuk menanam rasa bangga dan kesedaran identiti dalam kalangan generasi muda selain turut dapat memastikan mereka mengenali pakaian tradisional kaum yang lain di Malaysia,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perkumpulan Wanita Johol berkata, acara perarakan itu turut disertai ahli Jawatankuasa Komuniti Madani Renggoh dan kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah serta masyarakat setempat.

“Kami juga ingin masyarakat dapat memberi contoh penglibatan aktif dalam program berunsur patriotik dan kebudayaan kepada murid-murid sekolah” katanya.

Tambahnya, selain perarakan itu, program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan pakaian beragam, pertandingan koir lagu patriotik dan pertandingan arca. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN