Pembatalan cukai barangan mewah tiada kesan besar buat rakyat

Pembatalan cukai barangan mewah tiada kesan besar buat rakyat

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemansuhan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) oleh kerajaan disifatkan tidak memberi impak ketara kepada kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang kini masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, langkah itu secara asasnya lebih bersifat simbolik kerana ia hanya melibatkan kelompok kecil dalam ekonomi iaitu pengguna barangan mewah.

“Pemansuhan HVGT tidak memberi kesan langsung kepada majoriti rakyat, terutama B40 dan M40 kerana mereka bukan pembeli barangan mewah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam keadaan sekarang, cabaran sebenar ialah harga barang asas, bukan akses kepada jam tangan mahal atau beg berjenama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, walaupun langkah ini dilihat mampu meredakan keresahan pasaran dan memberi sedikit kelegaan kepada sektor seperti pelancongan mewah dan peruncitan eksklusif, ia bukanlah satu keutamaan untuk pengguna harian.

“Lebih wajar jika kerajaan memberi tumpuan kepada pemerkasaan kuasa beli rakyat menerusi subsidi bersasar, bantuan tunai serta dasar harga barang yang lebih stabil.

“Golongan M40 sendiri telah mengalami penurunan mobiliti ekonomi. Ramai tertekan dengan ansuran rumah, pendidikan anak-anak dan komitmen harian.

“Jadi, pemansuhan cukai mewah ini bukan penyelesaian kepada masalah sebenar mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, demi merancakkan ekonomi domestik, kerajaan perlu mempercepat usaha menjana peluang pekerjaan dan memberi insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berbanding memberi tumpuan kepada sektor yang menyumbang kecil kepada ekonomi pengguna keseluruhan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan HVGT.

Kementerian Kewangan bagaimanapun berkata, prinsip-prinsip pelaksanaan cukai tersebut telah diambil kira dalam semakan semula cukai jualan, di mana barangan mewah dan barangan pilihan dikenakan cukai pada kadar lima peratus atau 10 peratus.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, beliau melihat pemansuhan HVGT sebagai langkah bersifat sementara yang wajar dalam konteks semasa ekonomi global yang tidak menentu.

“Langkah ini boleh mengelakkan sebarang keherotan terhadap kuasa membeli rakyat terutama golongan T20, yang juga antara penyumbang besar pembayaran cukai negara,” katanya.

Beliau berkata, pemansuhan ini mampu menggalakkan corak perbelanjaan golongan berpendapatan tinggi kekal aktif di pasaran tempatan, sekali gus menyokong momentum permintaan dalam negara.

“Dalam keadaan kelembapan ekonomi global, langkah ini memberi sedikit nafas untuk mengekalkan permintaan dan penawaran berada dalam keseimbangan sepanjang tahun ini.

“Keputusan itu juga perlu dilihat dalam konteks lebih besar iaitu sebagai sebahagian daripada strategi jangka pendek kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober nanti.

“Dasar-dasar lain akan diperhalusi dalam Belanjawan nanti bagi menangani kesan kelembapan ekonomi global terhadap pertumbuhan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini