NEW YORK: Pemain kelayakan dari Indonesia, Janice Tjen mencipta kejutan sensasi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menyingkirkan pilihan ke-24, Veronika Kudermetova dalam aksi pembukaan semalam.
Tjen yang berusia 23 tahun dari Jakarta itu menundukkan lawannya dari Rusia 6-4, 4-6, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua.
Kejayaan itu menjadikan beliau pemain Indonesia pertama beraksi dalam undian utama Grand Slam sejak Angelique Widjaja pada edisi 2004.
“Kemenangan ini sangat bermakna. Saya rasa bangga dapat lakukan sesuatu untuk negara saya.
“Harapan saya, kemunculan ini mampu beri inspirasi kepada lebih ramai pemain tenis di Indonesia untuk percaya mereka juga boleh sampai ke tahap ini,” kata Tjen.
Tjen yang kini menghuni ranking ke-149 dunia akan berdepan cabaran getir apabila menentang juara edisi 2021, Emma Raducanu di pusingan kedua.
Beliau turut mengakui perjalanan Raducanu yang pernah mencipta keajaiban di New York tiga tahun lalu menjadi sumber inspirasinya.
“Ketika Emma menang di sini, saya masih bergelar pelajar universiti dan mengalami kecederaan, tetapi melihat kejayaannya memberi saya semangat bahawa saya juga mampu melakukannya,” jelasnya. – AGENSI