Isu sama ada pelajar perlu mempunyai idola atau tidak sering menjadi perdebatan dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Idola sering dikaitkan dengan tokoh yang dikagumi dan dijadikan inspirasi oleh seseorang dalam membentuk cita-cita dan jati diri.
Namun begitu, timbul persoalan, adakah wajar seorang pelajar mempunyai idola, atau adakah ia sebenarnya membawa kesan negatif terhadap perkembangan mereka?
Jawapan terhadap persoalan ini bergantung kepada bagaimana peranan “idola” itu difahami dan diterjemahkan dalam kehidupan pelajar.
Secara positif, mempunyai idola boleh menjadi pendorong kuat kepada pelajar untuk berusaha mencapai kejayaan.
Apabila mereka mengidolakan tokoh seperti tokoh ilmuan, pemimpin berwibawa, atau usahawan berjaya, mereka terdorong untuk meniru sifat rajin, berdisiplin dan bermatlamat tinggi. Idola boleh memberikan pelajar satu “contoh hidup” bahawa kejayaan boleh dicapai melalui usaha dan ketabahan, lantas meningkatkan motivasi diri. Namun, risiko timbul apabila pelajar memilih idola yang tidak sesuai. Dalam era media sosial masa kini, ramai pelajar menjadikan selebriti hiburan, pempengaruh (influencer), atau personaliti TikTok sebagai idola hanya kerana rupa atau populariti – bukan kerana nilai intelek atau sumbangan kepada masyarakat.
Ini boleh membawa kepada penurunan nilai, obsesi berlebihan, serta kehilangan fokus terhadap pelajaran dan pembangunan diri yang seimbang.
Oleh itu, peranan guru dan ibu bapa sangat penting dalam membimbing pelajar untuk memilih idola yang betul. Mereka perlu didedahkan kepada tokoh-tokoh yang memberi inspirasi sebenar seperti Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Elon Musk, atau Ibnu Sina – tokoh yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
Panduan ini dapat membentuk minda pelajar agar lebih kritis dalam menilai siapa yang layak dijadikan contoh.
Mempunyai idola juga membantu pelajar membentuk identiti dan hala tuju dalam hidup. Ia seperti kompas moral dan kerjaya.
Misalnya, seorang pelajar yang mengidolakan tokoh saintis mungkin terdorong untuk menyukai bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan menyumbang kepada inovasi masa depan.
Idola yang tepat dapat memberikan bayangan masa depan dan membantu pelajar menetapkan matlamat jangka panjang mereka.
Idola yang tepat dapat memberikan bayangan masa depan dan membantu pelajar menetapkan matlamat jangka panjang mereka.
Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar memerlukan idola untuk berjaya.
Ada yang lebih suka menjadi diri sendiri dan belajar daripada pelbagai sumber tanpa terlalu bergantung pada satu tokoh.
Ini juga bukan satu kelemahan. Sifat berdikari dan membina jalan sendiri adalah satu bentuk kekuatan. Malah, ada pelajar yang lebih selesa menjadikan prinsip hidup sebagai panduan, bukan individu tertentu.
Kesimpulannya, pelajar boleh mempunyai idola asalkan ia dipandu dengan nilai dan pertimbangan yang betul. Idola yang baik boleh menjadi obor yang menyuluh masa depan, tetapi idola yang salah boleh menyesatkan arah hidup.
Yang paling penting, pelajar perlu diajar untuk berfikir secara kritis, agar mereka tidak meniru membuta tuli, sebaliknya mencontohi nilai yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan dan masyarakat. – UTUSAN
Mohammad Rizan Hassan ialah Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR)