ALOR GAJAH: “Jangan fikirkan apa kita rasa (sakit) tetapi fikirkan ‘siapa’ yang beri rasa itu”.
Kata-kata itu menjadi sumber kekuatan seorang pensyarah Universiti Islam Melaka (Unimel), Siti Nazurulaina Aripin, 47, yang berusaha melawan penyakit Parkinson sejak setahun lalu.
Katanya, simptom penyakit tersebut dikesan pada November 2023 apabila anggota sebelah kanan seperti tangan dan kaki terasa lemah dan ‘berat’.
“Keadaan ini menyebabkan pergerakan menjadi perlahan sekaligus menjejaskan rutin harian saya. Saya kemudian pergi bertemu pakar dan menjalani pelbagai ujian bagi mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan saya.
“Akhirnya pada Julai tahun lepas doktor mengesahkan saya menghidap penyakit Parkinson. Doktor beritahu penyakit ini disebabkan genetik tetapi tiada ahli keluarga saya yang menghidap Parkinson,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampus Unimel di sini, baru-baru ini.
Siti Nazurulaina merupakan antara tiga penerima wang tunai berjumlah RM500 sumbangan Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi Program Hati Mulia dengan kolaborasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Siti Nazurulaina berkata, rutin hidupnya berubah selepas itu apabila gemar menyendiri di dalam bilik, tidak bersemangat, kemurungan dan kerap tidur.
Menurutnya, penyakit itu turut mengganggu tugasnya sebagai pensyarah menyebabkan dia mengambil cuti panjang.
“Sepanjang tempoh ini saya dijaga oleh ibu (Aminah Samat). Ibu bimbang melihat perubahan mendadak pada diri saya yang seolah-olah tidak dapat menerima penyakit ini.
“Ibu pun tidak berapa sihat tetapi dia mampu menguruskan saya. Dari situ saya sedar dan tidak boleh terus bersedih kerana ramai yang mengambil berat,” katanya.
Tambahnya, dia menjadikan kata-kata nasihat ibunya sebagai pegangan untuk melawan penyakit Parkinson.
“Alhamdulillah selepas setahun saya semakin pulih dan kembali bekerja seperti biasa. Terima kasih juga kepada Pusat Rehabilitasi Perkeso kerana menyediakan rawatan dan kemudahan terbaik untuk pesakit seperti saya kembali pulih,” ujarnya.
Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.
Tonton dan sokong kisah pilihan anda.