KUALA LUMPUR: Pas tetap membantah Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kerana terdapat pelbagai kelemahan, permasalahan serta kesan jangka panjang terhadap perpaduan dan keharmonian rakyat sekiranya ia dilaksanakan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan digesa menghentikan dan menarik balik pelaksanaan RUU itu dengan segera kerana bantahan terhadap akta itu tidak hanya datang daripada Pas, malah turut disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
“Walaupun ia menyaksikan bantahan terbesar terhadap sesuatu rang undang-undang berbanding sebelum ini, kerajaan seolah-olah memekakkan telinga terhadap pelbagai permasalahan besar berkaitan URA.
“Sikap kerajaan yang dilihat angkuh dan langsung tidak mempedulikan pandangan pemegang taruh serta rakyat terbanyak amat dikesali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Perikatan Nasional (PN) telah menyatakan bantahan sejak bacaan kali pertama RUU berkenaan yang kemudiannya disusuli pelbagai siri ceramah serta penerangan oleh pihak-pihak berkaitan.
Katanya, sikap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming daripada DAP yang bertanggungjawab terhadap urusan ini juga dianggap angkuh dan perlu ditegur.
Malah katanya, butiran lanjut mengenai himpunan mega akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Pas akan terus membantah, dan keangkuhan Menteri serta kerajaan perlu ditegur melalui himpunan aman rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum di seluruh negara.
“Pas bersama rakan-rakan dalam PN akan menggerakkan seluruh rakyat untuk menyertai himpunan mega bagi membantah akta ini sekiranya kerajaan masih enggan mendengar pandangan,” katanya. – UTUSAN










