PARLIMEN: Tolak lindungi pihak tertentu kes kematian Palapes UTM

PARLIMEN: Tolak lindungi pihak tertentu kes kematian Palapes UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk perlindungan kepada mana-mana pihak tidak boleh diterima sekiranya terbukti wujud kecuaian atau salah laku sehingga menyebabkan kematian Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berkata, tragedi yang menimpa penuntut berusia 22 tahun itu bukan sahaja menyentuh soal keadilan kepada keluarga mangsa, malah turut memberi kesan besar kepada integriti institusi keselamatan dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Kes ini bukan sekadar isu peribadi melibatkan Allahyarham, tetapi menyentuh kredibiliti institusi keselamatan serta keyakinan rakyat. Kami menolak sebarang cubaan melindungi pihak tertentu sekiranya terbukti ada salah laku,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, antara tuntutan keluarga adalah bedah siasat kedua secara bebas dengan penglibatan waris, siasatan menyeluruh melibatkan semua saksi dan rekod latihan serta pemeliharaan bukti termasuk rakaman audio, video dan peralatan yang digunakan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan keluarga untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi menjalankan bedah siasat kedua oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur selepas afidavit baharu bersama bukti tambahan dikemukakan.

Afidavit itu turut memuatkan rakaman audio pemberi maklumat berhubung latihan yang dijalankan, selain siasatan kini diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Sebelum ini, Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pertahanan memaklumkan tiada bukti penderaan, manakala polis Johor sudah merakam keterangan 22 saksi dan masih menunggu laporan penuh perubatan serta kimia.

Sehubungan itu, Ganabatirau mendesak kerajaan menyediakan sokongan guaman, bantuan psikososial dan fasilitasi dokumen rasmi kepada keluarga Allahyarham.

“Kerajaan juga perlu memastikan semakan serta penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan diumumkan secara telus bagi mengelakkan tragedi berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN