PARLIMEN: Penduduk flat serah memorandum sokong RUU PSB

PARLIMEN: Penduduk flat serah memorandum sokong RUU PSB

NGA Kor Ming menerima memorandum sebagai tanda sokongan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB). FACEBOOK NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penduduk flat sekitar ibu negara hari ini menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan sebagai tanda sokongan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).

Mereka berpandangan, RUU PSB mampu menjadi mekanisme penting untuk menaik taraf, membaik pulih serta memodenkan kawasan perumahan lama yang sudah uzur selain meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk.

Memorandum itu juga menzahirkan harapan agar RUU PSB memberi jaminan perlindungan sewajarnya kepada pemilik rumah berpendapatan rendah supaya tidak terpinggir dalam proses pembangunan semula bandar.

Pengerusi Penduduk Taman Sri Indah Bukit Jalil, Rahimah Abdul Ghafor, 71, berkata, beliau telah mendiami flat berkenaan sejak awal 1990-an dan kini berdepan pelbagai masalah kerosakan serius.

“Pendawaian rosak, saluran najis bocor, bumbung dan longkang pecah, malah banyak kes binatang berbisa seperti ular memasuki kawasan rumah.

“Kita tidak boleh tunggu lama. Rumah sudah teruk sangat. Warga emas seperti kami perlu rumah yang lebih sesuai dan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 di hadapan Bangunan Parlimen, hari ini.

Himpunan yang bermula pada pukul 10 pagi itu menyaksikan penduduk menyerahkan memorandum sokongan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. 

Difahamkan, ia melibatkan penghuni flat Taman Sri Indah, Taman Desa Bakti Selayang dan Taman Maluri.

Seorang lagi penduduk, S. Vijayan, 65, berkata, RUU itu sangat dinanti kerana memberikan peluang kepada keluarga berpendapatan sederhana memiliki kediaman lebih selesa.

“Bayangkan flat lima tingkat yang saya duduki sejak 1983, tiada lif. Saya sendiri sudah sukar naik tangga akibat kecederaan kaki. Jadi saya tidak faham kenapa ada pihak membantah, sedangkan ia tiada yang merugikan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan tetap meneruskan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Parlimen pada Khamis ini walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang.

RUU URA itu dibentangkan oleh Kor Ming selepas bacaan kali pertama dibentangkan pada 21 Ogos lalu selepas melalui beberapa peringkat seperti draf akhir ke Pesuruhjaya Undang-undang (AGC), Jemaah Menteri dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

RUU tersebut merupakan antara inisiatif Kerajaan Pusat bagi mempercepat pembangunan semula kawasan bandar lama dan uzur.

Sejak Disember 2024, telah diadakan 74 sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak seperti badan profesional, pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB), kerajaan negeri, universiti dan orang awam.

RUU tersebut menetapkan ambang persetujuan 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus bagi bangunan lebih lama, dan hanya 51 peratus untuk bangunan terbengkalai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN