KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh sekadar menumpukan usaha untuk menggalakkan pekebun kecil luar bandar menanam tanaman kontan, sebaliknya turut memastikan wujudnya pasaran tetap serta jaminan harga yang stabil bagi hasil pertanian.
Hassan Saad (PN-Baling) berkata, cabaran utama yang dihadapi pekebun kecil di Baling bukan hanya menanam tanaman seperti serai, jagung, pisang dan nanas, tetapi bagaimana memastikan hasil tersebut mempunyai pasaran terjamin.
“Cabaran utama pekebun kecil bukan sahaja berkaitan usaha menanam tanaman kontan, tetapi juga bagaimana memastikan hasil mereka mendapat pasaran yang konsisten dengan harga yang stabil.
“Apa peranan kerajaan dalam mewujudkan pasaran tetap atau menubuhkan pusat pengumpulan bagi menjamin pendapatan pekebun kecil serta pengusaha tanaman?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah melaksanakan beberapa program khusus untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Katanya, menerusi program agromakanan, RISDA memberi khidmat nasihat, bantuan peralatan dan memastikan jenis tanaman yang dipilih mempunyai potensi pasaran tinggi.
“RISDA juga bekerjasama dengan agensi pemasaran seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta rangkaian pasar tempatan khususnya bagi tanaman seperti serai,” katanya. – UTUSAN










