TENANG. Di depan saya mengalir perlahan arus Sungai Muar dengan angin sepoi-sepoi bahasa menyapa wajah. Sekelilingnya perkampungan orang Melayu dan Cina. Terletak pula di deretan rumah kedai era Perang Dunia Kedua, duduk di dalamnya mengembalikan nostalgia zaman 1950-an dan 1960-an seperti yang biasa ditonton dalam filem.
Begitulah pengalaman saya lalui sewaktu bersarapan di Sama Sama Kopi yang terletak di pekan kecil Panchor, Muar, Johor. Bukan senang hendak dapat vibe sebegini.
Jauh berbeza suasananya di ibu kota tempat tinggal saya yang hiruk pikuk dengan deretan kenderaan dan lautan manusia. Lebih best lagi, suasana di situ silih bertukar mengikut waktu-waktu berbeza.
SAMA SAMA KOPI
Lokasi: 46, Jalan Abdullah, Panchor, Muar, Johor.
Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat tutup.
Kalau datang seawal pukul 7 hingga 7.30 pagi, kita dapat menikmati pemandangan matahari terbit dari arah kanan kafe. Kalau datang sebelah petang antara pukul 5 hingga 6, dapat lihat keindahan matahari terbenam dari arah kiri pula.
Jika singgah selepas hujan berhenti, seolah-olah berada di tanah tinggi. Dingin dengan kabus sedikit. Jika awal tahun, seperti berada pada musim sejuk. Tidak perlu buka kipas sebab angin dingin menerpa masuk dari arah sungai.

Itu yang diceritakan pengusaha kafe ini, Max Loh, 37. Menurutnya, kafe itu dahulunya kedai makan yang diusahakan oleh datuknya.
Meskipun pertama kali bertemu, saya dan anak muda ini cepat mesra seperti sudah kenal lama. Maklumlah, minat dia dan saya adalah sama.
Dia meminati motosikal saya. Model serupa pernah ditunggangi pelakon Tom Cruise dalam filem Mission Impossible!
Menurutnya, selain vibe sungai dan kampung, pengunjung suka datang kerana mahu menikmati makanan dan minuman istimewa yang disajikan. Sebagai contoh, kopi yang dihidangkan resipi sendiri.
“Saya belajar dengan orang lain cara buat dan bancuh kopi. Kemudian saya olah sana sikit, sini sikit sehinggalah dapat rasa yang memang saya hendak,” katanya.
Begitu juga dengan makanan di kafe yang sudah setahun beroperasi tersebut. Disebabkan Max kaki makan, banyak restoran dan kafe pernah dia kunjungi sebelum ini. Jadi, dari situ dia mengkaji dan berkongsi pandangan dengan pengusaha kedai makan lain bagi mendapatkan idea. Hasil perkongsian dan kajian itu, dia menghasilkan menu Sama Sama Kopi. Dia mahu memastikan hidangan disediakannya ada kelainan.
Bagi saya, tidak lengkap rasanya kunjungan ke situ kalau tidak nikmati hidangan popular orang Johor. Justeru, saya pilih lontong ayam.

Bagaimana rasanya? Tiada apa-apa rungutan, semua okay, sedap! Rasa kuahnya berlemak, sambal kacang pun ‘padu’. Pedas, manis, semuanya ada, cukup. Paling istimewa, bahagian ayam yang diberikan bersaiz besar, tidak ‘kedekut’. Hirup pula kopi ais dan ribena soda. Fuh, tersandar saya kekenyangan. Hidangan lain adalah nasi lemak, nasi ayam penyet, mihun goreng, soto, bakso, roti bakar dan roti stim. Air pula selain kopi antaranya teh, cham, sirap dan limau.
Max memberitahu, kebanyakan pelanggannya ialah penduduk kampung berhampiran seperti dari Bukit Gambir dan Pagoh. Tidak kurang juga ada penduduk Kampung Panchor di situ yang menjadikan kafe itu sebagai tempat berkumpul untuk menjalankan sesuatu aktiviti.
Ketika saya sampai pun, saya ditegur seorang lelaki yang sedang membawa sekumpulan pelajar sekolah bersarapan di Sama Sama Kopi sebelum memulakan program amal di kampung itu. Saya diberitahu, tok penghulu yang belanja mereka makan.
Demikianlah juga impian Max. Dia mahu kafe miliknya dikunjungi semua kaum, tidak kira muda atau tua. Tiada rasa was-was untuk makan.
“Dahulu semasa saya kerja di Kuala Lumpur, kadang-kadang nak pergi minum di kedai kopi Cina, mereka (kawan-kawan Melayu) tak mahu masuk, takut-takut.
“Jadi, sekarang saya harap semua orang boleh duduk sama-sama makan. Saya buat sesuai untuk semua. Semua datang sini bolek relaks, makan-makan, borak sama-sama,” ujarnya.
Daripada situlah tercetus idea Max untuk menamakannya sebagai Sama Sama Kopi.
Kalau ditanya sama ada saya sanggup meredah perjalanan hampir 200 kilometer dari rumah di Ampang, Selangor ke situ lagi untuk bersarapan, jawapannya pasti ya! Saya nak pekena roti bakar, nasi lemak ayam rempah dan teh panas pula. –UTUSAN









