Negeri Sembilan bangkit tewaskan Selangor

Negeri Sembilan bangkit tewaskan Selangor

MIO Tsuneyasu (kiri) meraikan gol kedua jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Super di antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua jaringan pemain import dari Jepun, Mio Tsuneyasu berjaya membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) bangkit menumpaskan Selangor FC(SFC), 2-1, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam ini.

Aura kemenangan besar, 5-0, ke atas PDRM dalam saingan Piala FA di laman sendiri pada Isnin lalu nyata membangkitkn semangat juang pasukan Hobin Jang Hobin bagi meneruskan momentum kemenangan.

Lebih manis, stadium itu turut dibanjiri sokongan padu lebih 25,000 penonton Negeri Sembilan yang hadir menjadi pemain ke-12 buat skuad Hobin Jang Hobin.

Begitupun, Selangor FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-12 melalui gol oleh Richmond Tetteh Ankrah yang menanduk masuk bola berpunca daripada sepakan sudut.

Pada minit ke-21, NSFC hampir menyamakan kedudukan namun sepakan deras Joseph Esso ditepis keluar penjaga gol Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Pasukan pelawat hampir menambah jaringan pada minit ke-23 apabila Faisal Halim berjaya melepasi pertahanan NSFC, namun sepakan penyerang Selangor FC itu berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Ghani.

Kalamullah terus bertindak cemerlang menafikan gol NSFC apabila menepis keluar bola sepakan percuma pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Harith Samsuri.

 

Separuh masa kedua, pasukan tuan rumah menggandakan asakan ke kubu Selangor FC tetapi masih belum mampu menembusi barisan pertahanan pelawat yang kental.

Jaringan penyamaan yang dinantikan, akhirnya hadir pada minit ke-82 menerusi pemain gantian, Mio Tsuneyasu yang menyambar peluang ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol Selangor untuk merembat masuk bola ke gawang pelawat.

PEMAIN Selangor FC tunduk kecewa selepas pasukan Negeri Sembilan menjaringkan gol kemenangan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Mio sekali lagi hadir sebagai penjaring dan juga wira buat tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan dengan rembatan dari kiri gol, gagal diselamatkan Kalamullah.

Keputusan itu memberi kemenangan pertama buat skuad kendalian Nidzam Jamil selepas mengharungi dua perlawanan dalam kempen Liga Super musim ini, dengan aksi pertama tewas 5-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN