PUTRAJAYA: Pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 bukan sekadar satu perancangan dasar, sebaliknya pelbagai usaha serta tindakan dilakukan dilihat mampu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setiap usaha yang dijalankan akan memberikan keberhasilan kepada masyarakat walaupun manfaatnya mungkin tidak dirasai secara langsung dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama kerajaan kini adalah memastikan setiap substrategi yang digubal mampu dilaksanakan di peringkat lapangan
“Sebagai contoh, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggubal Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia pada Oktober 2024 yang membolehkan kawalan sempadan diperkasa.
“Dengan adanya akta ini, ia meningkatkan keselamatan negara, membanteras penyeludupan serta melindungi hasil ekonomi negara selain memberi keyakinan kepada pelabur dan pelancong,” katanya dalam sesi khas bersama media di Ibu pejabat SPRM di sini.
Malah, menurutnya, pelaksanaan NACS turut diperhebatkan dengan memperkenalkan elemen anti rasuah di peringkat pra sekolah bagi membentuk generasi yang membenci amalan rasuah sejak kecil melalui pelbagai program berbentuk pendidikan, modul integriti, aktiviti kesukarelawanan serta kempen kesedaran.
Jelasnya, golongan muda merupakan aset penting negara yang perlu dibimbing untuk membina masyarakat bebas rasuah, sejajar dengan visi agensi itu dalam melahirkan masyarakat bebas rasuah.
“Saya ada perbincangan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sudah saya persetujui untuk kita majukan kepada KPM (Kementerian Pendidikan) bagi prasekolah dalam bentuk lebih mudah.
“Di peringkat pra-sekolah, SPRM akan merangka dalam bentuk mudah difahami dan diterima golongan terbabit, seperti komik dan digital, agar kanak-kanak mula melihat rasuah sebagai satu perbuatan tidak bermoral.
“Pengalaman kami menunjukkan kanak-kanak lebih mudah memahami mesej melalui aktiviti, bukan sekadar membaca buku malah kita wujudkan wira anti rasuah sebagai maskot untuk menarik minat mereka.
“Pendekatan pendidikan menyeluruh ini pernah berjaya diamalkan di Hong Kong yang akhirnya membentuk sikap masyarakat tidak bertoleransi terhadap rasuah,” katanya.
Menyentuh peranan sektor swasta, Azam menegaskan, ia kini menjadi komponen kritikal dalam pencegahan rasuah, khususnya di titik pertemuan dengan sektor awam.
“Organisasi komersial terikat dengan Seksyen 17A Akta SPRM 2009. Syarikat juga digalakkan mematuhi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001 sebagai bukti komitmen tatakelola telus.
“Bagaimanapun, penekanan (SPRM) diberikan kepada kira- kira 1.4 juta penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menguruskan bilion atau trilion setahun,” katanya.
Menurutnya, kerajaan turut menyediakan insentif termasuk potongan cukai kepada syarikat dan individu yang menyertai program anti rasuah serta pemberian insentif kepada pemberi maklumat.
“Namun, masih ramai lagi masyarakat tidak mahu tampil selain saya mencadang elaun saksi perlu diberikan seiring dengan kos semasa. Sebagai contoh, sekiranya saksi ingin datang kepada kita (SPRM), mereka perlu meninggalkan kerja atau ada kos pengangkutan jadi ia perlu ditambah baik.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 16 substrategi telah berjaya dilaksanakan oleh 11 kementerian dan agensi, termasuk lima substrategi yang diselesaikan pada 2024 sejak ia diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.
Jelasnya, semua pencapaian ini dipantau melalui dua dashboard yang dibangunkan oleh server SPRM iaitu r-NACS bagi pemantauan antara agensi dan d-NACS untuk tatapan umum.
“Usaha ini menyumbang kepada peningkatan prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang disasarkan berada di tangga 25 teratas menjelang 2033,” ujarnya.
Selain itu, Azam berkata, digitalisasi terbukti sebagai alat paling berkesan membanteras rasuah yang mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan campur tangan manusia yang sering menjadi punca utama kepada amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan.
“Penggunaan analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI) sedang diterokai untuk mengesan corak perbelanjaan luar biasa atau kelulusan projek mencurigakan namun teknologi perlu diiringi tadbir urus yang teliti.
“Kerajaan telah meluncurkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI pada September 2024 bagi memastikan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, telus dan berakauntabiliti selain dalam usaha memperkenalkan dasar atau akta berkaitan kepenggunaan teknologi terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya, setiap sistem AI dalam pentadbiran awam perlu melalui penilaian risiko integriti sebelum diguna pakai.
“Ia penting bagi memastikan AI tidak disalah guna untuk tujuan politik, manipulasi data atau pembuatan keputusan yang menafikan hak individu.
“Ditegaskan, ia tidak boleh menggantikan manusia, sebaliknya menjadi alat mempercepat urusan pentadbiran,” katanya. – UTUSAN