Seramai 40 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu kelihatan teruja menyertai lawatan ke Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2025 yang berlangsung di Tunjong, Kota Bahru Kelantan.
Program lawatan ini diselaraskan oleh Mastora Mamat yang juga merupakan Penyelaras Program Lawatan SK Banggu. Menurut beliau, penganjuran program tersebt mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca sebagai asas pembentukan ilmu, pemikiran dan sahsiah diri.
Seramai 40 orang murid dan 5 orang guru hadir ke pesta ini yang berlangsung dari 30 Julai hingga 4 Ogos itu dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan objektif utama menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan buku berkualiti pada harga berpatutan, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti berunsur pendidikan dan hiburan khususnya kepada kanak-kanak dan remaja.
Antara aktiviti menarik yang dirancang termasuk pertandingan mewarna keluarga selain pelbagai aktiviti lain seperti drama, bacaan al-Quran, kuiz bahasa, tadabbur, persembahan dikir barat, pertunjukan maskot dan cabutan bertuah.
Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menikmati diskaun hebat bagi pelbagai jenis buku sepanjang tempoh penganjuran festival.
Murid-murid SK Banggu turut tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur yang menjadi tumpuan mereka kerana terdapat banyak buku menarik
termasuk hasil karya guru mereka sendiri, Ahmad Safarman Dollah.
Rata-rata murid dan guru berharap dapat menyertai acara ini lagi pada tahun hadapan kerana selain dapat membeli buku dengan harga murah, mereka juga mendapat pendedahan tentang kepentingan
membaca dan ilmu pengetahuan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada PPAK atas penganjuran Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2025. Semoga usaha murni ini terus menyemarakkan budaya ilmu, minat membaca dan kecintaan terhadap buku dalam kalangan masyarakat Kelantan dan seluruh Malaysia,”ujar Mastora lagi.
Pesta Buku Darul Naim 2025 dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. – UTUSAN