PETALING JAYA: Kemerdekaan pada hari ini bukan sahaja bererti bebas daripada penjajahan, tetapi bagaimana rakyat Malaysia mampu membina masa depan yang lebih baik sama ada di tanah air atau di perantauan.
Seorang penulis bebas yang pernah berhijrah ke 41 buah negara, Mohd Fudzail Mohd Nor berkata, penghijrahan rakyat Malaysia perlu dilihat dalam konteks lebih luas, bukan semata-mata sebagai isu kehilangan tenaga mahir.
Beliau yang pernah bekerja selama 18 tahun di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, rakyat Malaysia yang berada di luar negara sebenarnya boleh menjadi aset penting kepada negara melalui kepakaran, pengalaman dan jaringan antarabangsa yang dimiliki.
“Penghijrahan sering dilihat sebagai kehilangan modal insan, namun dari pengalaman saya, ia juga boleh menjadi peluang.
“Malaysia memerlukan rakyat yang bukan sahaja setia kepada tanah air, tetapi juga berkemampuan memimpin di pentas dunia,” katanya yang menamatkan pengajian di Universiti Waikato, New Zealand.
Sekembali ke tanah beliau bekerja dalam pelbagai sektor, selain bekerja di beberapa buah negara sebelum kembali semula ke Malaysia akibat strok pada 2018.
Tambah Mohd. Fudzail, perjalanan penghijrahan rakyat Malaysia juga boleh dilihat sebagai kesinambungan perjuangan kemerdekaan dalam bentuk baharu.
“Jika dulu pejuang negara membawa pulang semangat dan idea dari luar untuk membebaskan tanah air, hari ini generasi profesional boleh membawa pulang ilmu, teknologi, jaringan dan modal sebagai sumbangan mengisi kemerdekaan.
“Inilah perubahan daripada ‘brain drain’ kepada ‘brain gain’ yang perlu dimanfaatkan, sekali gus memastikan kemerdekaan tidak hanya tinggal kenangan, tetapi terus hidup dalam bentuk pembangunan bangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemerdekaan yang disambut saban tahun perlu difahami dalam konteks lebih luas, iaitu bukan sekadar mengimbau sejarah perjuangan menuntut kebebasan daripada penjajah, tetapi bagaimana rakyat hari ini menggunakan kebebasan itu untuk membina masa depan yang lebih terjamin.
Katanya, kebebasan sebenar bermakna rakyat mempunyai pilihan dan peluang sama rata untuk mengejar impian, sama ada dengan kekal berkhidmat di tanah air atau mencuba nasib di pentas antarabangsa.
“Pengalaman berhijrah ke luar negara membuka mata saya bahawa ramai rakyat Malaysia sebenarnya membawa bersama semangat cinta tanah air, walaupun mereka memilih untuk mengembangkan kerjaya di luar.
“Kemerdekaan memberi kita hak untuk menentukan jalan hidup sendiri. Apa yang penting, setiap rakyat harus menjadikan ilmu, pengalaman dan kejayaan mereka sebagai sumbangan kepada bangsa, di mana sahaja mereka berada,” katanya. – UTUSAN










