KUALA LUMPUR: Media tidak seharusnya bertindak sebagai pemerhati pasif semata-mata, sebaliknya perlu memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, peranan media sangat penting dalam memartabatkan keharmonian komuniti, menyampaikan maklumat tepat serta membantu menangani isu keselamatan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan negara.
“Sesungguhnya tanggungjawab media bukanlah sekadar mencari bahan berita demi keuntungan semata-mata. Ia juga medium penting yang boleh membentuk kesedaran awam terhadap tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam ucapan Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Negara Bersama Media di Bukit Aman hari ini yang dihadiri kira-kira 30 pengamal media termasuk Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Mohd. Khalid turut mengingatkan pengamal media agar meneliti ketepatan fakta serta mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum menerbitkan sebarang berita, terutama yang melibatkan keselamatan dan institusi negara.
“Tindakan ini bukan untuk menyekat kebebasan media, sebaliknya bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara. Sebarang maklumat tidak sahih boleh menjejaskan imej individu, agensi dan kredibiliti institusi kerajaan,” katanya.
Katanya lagi, penerbitan maklumat yang tidak tepat boleh mengundang kekeliruan, menimbulkan persepsi negatif serta menghakis kepercayaan masyarakat terhadap PDRM dan kerajaan.
Beliau menyeru semua pengamal media agar memainkan peranan yang bertanggungjawab dengan merujuk dan mendapatkan kelulusan rasmi daripada Unit Komunikasi Korporat PDRM sebelum menyiarkan sebarang maklumat berkaitan pasukan keselamatan.
“Langkah ini amat penting bagi menjaga integriti maklumat dan memastikan setiap berita yang disampaikan memberi manfaat kepada rakyat serta negara,” katanya. – UTUSAN








