BALATONFOKAJAR: Marc Marquez terus menguasai saingan MotoGP apabila meraih petak utama pada Grand Prix (GP) Hungary sekali gus memburu gelaran berganda kali ketujuh berturut-turut.
Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu mencatat masa terpantas 1 minit 36.518 saat (s) bersama Ducati, sekali gus merekodkan kali ke-74 bermula dari petak pertama dalam kelas perdana.
Saingan kejuaraan dunia menyaksikan Marquez kini selesa mendahului adiknya, Alex dengan kelebihan 142 mata selepas pelumba Ducati-Gresini itu menamatkan kelayakan di tangga ke-11.
Alex bagaimanapun terpaksa berundur ke petak ke-14 selepas menerima penalti kerana menghalang rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia ketika sesi latihan Jumaat.
“Adalah sangat penting untuk bermula di hadapan kerana trek ini amat sukar untuk melakukan aksi memotong.
“Saya ada melakukan beberapa kesilapan ketika membrek tetapi tetap berjaya catat masa yang baik. Fokus amat penting di litar ini kerana mudah melakukan kesalahan,” kata Marquez.
Bagnaia yang pernah meraih kejuaraan dunia 2022 dan 2023 terus bergelut dengan prestasi hambar sejak ketibaan Marquez dalam pasukan.
Pelumba Itali itu sekadar akan bermula dari petak ke-15, catatan terburuknya sejak GP Portugal pada April 2022. – AGENSI










