Majalah Dalam Kelas SK Batu Melintang kenali dunia penerbitan

Majalah Dalam Kelas bawa murid SK Batu Melintang kenali dunia penerbitan

MURID SK Batu Melintang dan warga sekolah bergambar bersama penceramah daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keterujaan jelas terpancar pada wajah murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang Jeli apabila seramai 105 orang murid terpilih menyertai Program Majalah Dalam Kelas yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, baru-baru ini.

Program julung kali itu merupakan inisiatif bersama antara Unit Kokurikulum, Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris dan Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan murid serta memperkenalkan peranan DBP sebagai peneraju bahan bacaan ilmiah dan sastera di negara ini.

Wakil DBP, Anis Salwani, ketika ditemui berkata pihaknya amat mengalu-alukan inisiatif sekolah dalam membawa bahan terbitan ke dalam bilik darjah sebagai medium pembelajaran.

“DBP sentiasa menyokong usaha sekolah-sekolah yang ingin menjadikan bahan terbitan kami sebagai alat bantu pengajaran. Majalah bukan hanya memberi maklumat, tetapi juga menyuntik semangat ingin tahu, kreativiti dan penguasaan bahasa yang lebih baik dalam kalangan murid,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Beliau menambah bahawa DBP komited untuk terus mendekati sekolah dan menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan keperluan pendidikan semasa.
“Program seperti ini juga membuka mata murid tentang potensi dunia penulisan dan penerbitan sebagai satu bidang yang mereka boleh ceburi suatu hari nanti,” katanya.

Pengurus program merangkap Ketua Panitia Bahasa Melayu sekolah tersebut, Ahmad Safarman Dollah, berkata penganjuran program itu memberi ruang kepada murid untuk mengenali lebih dekat dunia penerbitan majalah dan buku oleh DBP, yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga sarat dengan nilai pendidikan.

 

“PRogram ini dapat memperkenalkan majalah dan buku terbitan DBP kepada murid, guru serta ibu bapa. Secara tidak langsung, ia menggalakkan murid menggunakan Bahasa Melayu yang betul, selain memupuk minat membaca dan meningkatkan tahap celik huruf dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan penggunaan majalah dalam kelas adalah satu alternatif yang menarik bagi membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar lebih menyeronokkan dan interaktif, ” ujarnya.

 

Progrram tersebut  diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu jemputan termasuk pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli dan penceramah khas daripada PPD Kota Bharu yang berkongsi pengalaman serta memberikan motivasi kepada peserta.
Menurut Ahmad Safarman, kehadiran tokoh luar dalam dunia pendidikan memberikan nilai tambah kepada penganjuran program dan berjaya mewujudkan suasana pembelajaran di luar norma kebiasaan.

“Ternyata program ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara pihak sekolah, DBP dan institusi pendidikan lain. Ia juga memberi inspirasi kepada warga pendidik untuk lebih proaktif dalam merancang program pembangunan sahsiah dan akademik murid,” katanya.

Tambahnya, antara cabaran utama adalah menyelaras program berskala besar yang melibatkan banyak pihak luar, namun segalanya berjalan lancar hasil sokongan padu daripada pihak sekolah, terutamanya Penolong Kanan Kokurikulum, Mazraihan Hilmi yang sentiasa komited memastikan kejayaan setiap program.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar SK Batu Melintang, Laila Ismail atas kelulusan dan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan inisiatif tersebut.
“Cabaran sebegini adalah satu suntikan semangat untuk kami terus berinovasi dan mencipta kelainan dalam aktiviti sekolah. Kami berharap agar lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang, sebagai usaha berterusan membina generasi celik ilmu dan berdaya saing,” katanya. – UTUSANhttp://www,utusan.com.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN